Remaja Palestin korban terbaharu ditembak di kepala
Penduduk bantah rancangan bina pos penempatan haram

TEBING BARAT, 6 Zulkaedah 1442H, Khamis – Seorang remaja Palestin yang ditembak di kepala oleh tentera pengganas Israel di utara Tebing Barat semalam meninggal dunia hari ini.
Terdahulu, Ahmad Beni Shamsa, cedera selepas tentera Israel menggunakan peluru hidup bagi meleraikan bantahan yang dilakukan oleh penduduk dari kampung Beita.
Ahmad dibawa ke Hospital Bedah Rafidia di Nablus, bagaimanapun dia meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Remaja berusia 16 itu adalah rakyat Palestin keempat yang dibunuh oleh Israel ketika bantahan menentang penempatan – yang tidak sah berdasarkan undang-undang antarabangsa – bermula di Beita.
Minggu lalu, Mohammed Hamayel, 15, ditembak dan dibunuh oleh tentera Israel ketika bantahan di Beita selepas solat Jumaat.
Penduduk Beita mengadakan bantahan selama lima minggu berturut-turut terhadap rancangan untuk membina sebuah pos penempatan haram baharu Israel di Jabal Sabih. – Agensi