Pendapat

Setuju bersidang tapi biar berdata dan berfakta

Perbahasan perlu berfokus kepada masalah kritikal negara semasa

SEBAGAI rakyat yang bertanggungjawab kepada negara, setuju untuk Parlimen bersidang tetapi biar berdata dan berfakta, bukannya sidang untuk maki hamun dan peluang melepas geram yang tak pernah padam. Berdasarkan kepada senario lepas tiada apa yang boleh dibanggakan melainkan perbahasan yang tawar dan hambar.

Kita ingin melihat perbahasan yang berfokus kepada masalah kritikal negara semasa serta unjuran terbaik masa depan negara secara profesional dan efisien. Ianya memerlukan kajian yang berlandaskan kepada data dan fakta sehingga dapat menghasilkan keputusan yang tepat untuk perlaksanaan.

Janganlah menjadikan persidangan ini mengintai-intai peluang bagaimana aku boleh dapatkan kedudukan dan jawatan yang telah lama diidamkan. Ada macam-macam impian ahli yang hadir sidang Parlimen. Ada yang sudah lama tunggu jawatan tertinggi negara tetapi belum kesampaian hanya sampai ke peringkat pencalonan saja tapi gagal untuk beberapa kali pencalonan. Ada impian nak kitar semula jadi nombor satu negara dengan pelbagai alasan. Cukuplah senario ini menjadi lipatan sejarah negara. Sejarah buruk menjadi tatapan pewaris negara.

Ada kelompok yang memasang telinga dan mata kalau ada tawaran untuk memegang Kabinet negara kerana sebelum ini belum puas mengecapi nikmat sementara. Ada yang pertikai kenapa aku terkeluar dari senarai kepimpinan utama negara walaupun pegang jawatan utama dalam pemuafakatan nasional sementara. Banyak lagi impian yang tak terungkit. Cukup dua tiga contoh sebagai kata laluan sebelum berbicara.

Kita selalu mendengar ungkapan “jangan dipolitikkan atau mempolitikkan”. Pengertiannya amat mendalam seolah-olah apabila dipolitikkan sesuatu isu atau masalah akan jadi rosak. Ianya bila dipolitikkan semua bidang akan rosak. Rosak dalam pemerintahan. Rosak dalam pendidikan. Rosak dalam perekonomian dan lain-lain.

Cukup ungkapan ini menjadi lambang keburukan kerana asalnya politik adalah untuk kebaikan. Kata-kata Erdogan, Presiden Turki: Sistem politik jadi baik apabila diterajui oleh ahli politik yang baik, sistem politik jadi buruk bila diterajui oleh ahli politik yang buruk. Di mana ahli politik negara kita sekarang ini. Ada dua pilihan sahaja. Tiada pilihan ketiga.

Ustaz Sharipudin Ab Kadir
Ketua Perhubungan ISMA Kelantan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button