Berita UtamaDunia

Sokongan rakyat Palestin terhadap Hamas semakin meningkat

77 peratus yakin Hamas berhak mewakili dan memimpin Palestin

GAZA, 6 Zulkaedah 1442H, Khamis – Sokongan terhadap Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) yang berpusat di Gaza semakin meningkat sejak Perang Pedang al-Quds dengan rejim Zionis Israel baru-baru ini. 

Menerusi tinjauan yang dilakukan Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Strategik Palestin (Masarat), 77 peratus responden mengatakan Hamas telah menang dalam perang menentang rejim penjajah Israel, lapor rangkaian berita Lubnan, al-Mayadeen.

Kajian itu, yang merangkumi wawancara peribadi dengan 1,200 rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza yang dijajah, mendapati sekitar 53 peratus percaya Hamas berhak mewakili dan memimpin rakyat Palestin, sementara hanya 14 peratus yang mengatakan hal yang sama mengenai parti politik Fatah.

Menurut tinjauan itu, 65 peratus responden Palestin mengatakan bahawa dengan melancarkan roket, Hamas berjaya memaksa Israel menghentikan pemindahan keluarga kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis.

Lebih 250 penduduk Palestin, termasuk 66 kanak-kanak, terbunuh dalam pengeboman Israel di Semenanjung Gaza yang padat penduduknya.  

Pengeboman Israel juga membawa kehancuran meluas ke wilayah yang sudah miskin itu.

Sebagai tindak balas terhadap serangan udara Israel, pejuang Palestin menembak ribuan roket ke wilayah yang dijajah Israel.

Tidak tahan dengan serangan itu, Israel mengumumkan gencatan senjata sepihak pada 21 Mei setelah perang 11 hari, yang diterima oleh gerakan pejuang Palestin melalui perantaraan Mesir.

Tindak balas Hamas terhadap pencerobohan Israel disambut baik oleh ramai rakyat Palestin di dalam dan di luar Gaza.

Walaupun berlaku gencatan senjata, rejim di Tel Aviv telah meneruskan tindakan ganasnya terhadap rakyat Palestin, mendorong pemimpin Hamas, Yahya al-Sinwar untuk memberi amaran bahawa jika perang lain meletus antara puak Israel dan Palestin, ia akan mengubah wajah Asia Barat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button