Berita Utama

SUHAKAM masih degil mahu teruskan kajian ‘jantina ketiga’?

Seolah sudah ketandusan idea, hanya ikut templat Barat

BANGI, 6 Zulkaedah 1442H, Khamis – Meskipun bertali arus kecaman rakyat Malaysia terhadap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) susulan mahu membuat kajian berkaitan pengiktirafan ‘jantina ketiga’ di Malaysia secara legislatif, nampaknya mereka tetap degil. 

Lebih mengejutkan, kata Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya, Pesuruhjaya SUHAKAM, Hishamudin Yunus bersungguh-sungguh dengan pelbagai hujah bagi menyokong usaha itu.

“Yang paling mengejutkan ialah, beliau dilaporkan berkata “Jantina ketiga adalah mereka yang dilahirkan lelaki atau perempuan tetapi mempunyai ‘jiwa’ yang bertentangan dengan fitrahnya”.

“Jadi, melihat pada respons Hishamudin itu, apakah memang sudah ada ‘keputusan’ kajian sebelum kajian itu dilakukan? 

“Apakah objektif ‘bigger picture’ yang sebenar kajian ini? Saya sungguh ingin ketahui,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, umum mengetahui bahawa antara hasil kajian ini, sebagaimana yang diiklankan adalah bagi membangunkan reformasi legislatif untuk garis panduan pengiktirafan jantina golongan transgender di Malaysia. 

Pun begitu, Haji Aminuddin berkata, beliau yakin matlamatnya adalah lebih daripada itu.

“Persoalan yang masih belum dijawab oleh SUHAKAM, apakah relevannya kajian itu terhadap negara memandangkan ianya adalah sebuah agensi kerajaan yang mendapat peruntukan jutaan ringgit setahun.

“Siapakah yang sebenarnya ‘menyuruh’ untuk lakukan kajian ini, kerana respon spontan SUHAKAM kali ini menggambarkan bahawa mereka tertekan dan terdesak sehingga sanggup melawan arus dikecam oleh rakyat Malaysia sedemikian rupa,” katanya lagi.

Beliau berkata, antara yang dikhuatiri berlaku adalah wujudnya senario di mana secara tidak langsung SUHAKAM sedang ke arah pengiktirafan golongan-golongan ini malah menjadi proksi bagi menuntut kerajaan mengiktirafnya. 

“Akhirnya, masyarakat akan keliru dan seterusnya menjurus kepada pengiktirafan golongan LGBT secara normalisasi massa di kalangan masyarakat. 

“Sepertinya SUHAKAM sudah ketandusan idea untuk tentang hak asasi manusia ini, kerana seolah-olah mereka hanya ikut templat Barat satu per satu secara naif semata-mata yang akhirnya merosakkan negara. 

“Keanggotaan SUHAKAM perlu dirombak oleh kerajaan, sekurang-kurangnya jika tidak mampu memansuhkan,” katanya.

Semalam, Hishamudin berkata, SUHAKAM perlu diberi kebebasan untuk mengkaji keperluan undang-undang khusus bagi mengiktiraf jantina ketiga dalam negara ini.

Katanya, isu transgender adalah satu ‘medical condition’ (keadaan kesihatan) yang tidak dapat dirawat dan akan membelenggu seseorang itu seumur hidup.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button