Berita Utama

Tanda pemulihan ekonomi dilihat pada suku kedua

Lebih 1,000 syarikat dengan 150,000 pekerja mohon sertai PIKAS

NIBONG TEBAL, 6 Zulkaedah 1442H, Khamis – Kerajaan perlu menunggu data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2021 sebelum memutuskan sama ada akan menyemak sasaran pertumbuhan 6.0 hingga 7.5 peratus tahun ini, walaupun ekonomi menunjukkan tanda-tanda pemulihan dalam tempoh suku semasa.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan sedang meneliti prestasi suku kedua memandangkan sekatan pergerakan penuh memberi kesan ke atas ekonomi.

“Bagaimanapun, keputusan sekatan pergerakan penuh itu merupakan satu tindakan yang perlu kerajaan laksanakan untuk memastikan kerajaan terus mampu melindungi rakyat. Kita tidak akan kompromi soal hidup dan nyawa rakyat walaupun tindakan kita memberi kesan negatif ke atas ekonomi.

“Tahun ini, kita melihat tanda-tanda pemulihan berlaku pada suku kedua dengan prestasi perdagangan dan pelaburan langsung asing mencatatkan aliran masuk, menunjukkan tahap keyakinan pelabur asing, justeru mereka akan terus melabur di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kluster Vaksinasi Kawasan Perindustrian Batu Kawan di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, contohnya, minggu lepas, AT&S yang merupakan antara syarikat utama di Austria, memutuskan untuk melabur RM8.5 bilion di Malaysia menerusi penubuhan kilang baharu di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah bagi membuat papan litar bercetak dan litar bersepadu canggih.

Sekiranya negara berupaya mempercepat kadar imunisasi dan mencapai imuniti kelompok, ia sekali gus memberi impak positif terhadap pemulihan ekonomi, katanya.

Mohamed Azmin berkata, BNM dijangka mengumumkan sama ada semakan ke atas sasaran pertumbuhan ekonomi tahun ini akan dilakukan atau sebaliknya apabila ia mengeluarkan data prestasi KDNK suku kedua kelak.

“Secara amnya, kita menyaksikan tanda-tanda pemulihan, sebab itulah kita perlu mencapai imuniti kelompok dalam tempoh terdekat supaya kita boleh merealisasikan pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya.

Kluster Vaksinasi Kawasan Perindustrian Batu Kawan adalah sebahagian daripada Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19, yang dijalankan serentak di Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak pada Rabu sebagai program rintis.

Mohamed Azmin berkata, 150,000 dos vaksin akan tersedia di bawah program rintis PIKAS dan peruntukan vaksin itu akan meningkat mulai Julai dan seterusnya sekali gus lebih banyak pusat vaksinasi termasuk di negeri lain akan dibuka.

Beliau berkata, sehingga kini, lebih 1,000 syarikat dengan lebih 150,000 pekerja telah memohon untuk menyertai PIKAS.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang turut mengiringi Mohamed Azmin dalam lawatan itu berkata, selain Kluster Vaksinasi Kawasan Perindustrian Batu Kawan, sebuah lagi pusat pemberian vaksin di bawah PIKAS akan dibuka di Hotel Equatorial pada 28 Jun. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button