Berita Utama

Agong sudah bertitah, jemaah menteri perlu patuh

Baginda main peranan sewajarnya apabila kesejahteraan negara didapati dikompromi

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 7 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu, baru-baru ini supaya sesi Persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin, menzahirkan fungsi semak dan imbang di negara ini. 

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, walaupun dalam kelazimannya Perdana Menteri akan menasihati Yang di-Pertuan Agong, namun apabila kesejahteraan negara didapati dikompromi, Seri Paduka telah memainkan peranan sewajarnya sejajar dengan kedudukan eksekutif di dalam Persekutuan.

Beliau menjelaskan, Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang Persekutuan.

Katanya, peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri tetapi Parlimen boleh melalui undang-undang memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

“Berdasarkan Perkara 39 di atas, umara sebenar di dalam negara kita adalah Yang di-Pertuan Agong, manakala jemaah menteri membantu Yang di-Pertuan Agong menjalankan tanggungjawab berperlembagaan baginda melalui tindakan-tindakan jemaah menteri tersebut. 

“Dalam erti kata lain, Yang di-Pertuan Agong di peringkat Persekutuan (Raja-Raja Melayu di peringkat negeri) bersama-sama Jemaah Menteri di peringkat Persekutuan (EXCO kerajaan di peringkat negeri) dan para pentadbir yang lain merupakan umara dalam sistem perundangan negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Manakala, di peringkat legislatif Persekutuan, beliau berkata, umum pasti mengetahui bahawa terdapat dua dewan yang menguruskan penggubalan undang-undang iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. 

Di peringkat negeri pula terdapat Dewan Undangan Negeri dan Dewan Diraja, jelasnya.

“Keanggotaan dewan ini adalah berbeza iaitu di kalangan yang dipilih berdasarkan populariti undi dan dilantik berdasarkan status penghormatan dalam masyarakat keilmuan dan jasa seseorang. 

“Tetapi ramai yang mungkin tidak perasan apabila kita bercakap tentang Parlimen, terdapat tiga komponen Parlimen iaitu Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat sebagaimana termaktub di dalam Perkara 44,” katanya.

Dengan penjelasan mengenai kedudukan itu, beliau berkata, semua pihak termasuk jemaah menteri yang menjalankan kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong mesti mematuhi nasihat dan pandangan yang dizahirkan oleh Seri Paduka.

“Raja sudah bertitah, menandakan menteri dan rakyat mesti menjunjung titah,” katanya lagi.

Pada Rabu, Seri Paduka Baginda bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani COVID-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button