Berita Utama

Calon SPM, STPM 2021 akan divaksinasi bermula Julai

Proses suntikan dilaksana di sekolah yang akan dijadikan PPV

KUANTAN, 7 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 akan menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech bermula bulan depan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata proses suntikan berkenaan dijangka dilaksanakan di sekolah yang akan dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV).

“Kita akan mulakan pemberian vaksin kepada mereka pada Julai sebagai persediaan sebelum mereka kembali ke sekolah kelak,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Pahang, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata cadangan kementerian itu agar murid yang menduduki peperiksaan awam diberi keutamaan untuk divaksinasi telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).

Radzi berkata ini berikutan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk golongan berusia 12 tahun ke atas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button