Berita Utama

Israel mahu jalin hubungan dengan Malaysia, kerajaan diminta beri amaran tegas

Sebarang usaha ke arahnya akan ditentang habis-habisan oleh seluruh rakyat

BANGI, 7 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Kerajaan diminta bertegas dan memberi amaran kepada kerajaan haram Israel yang kononnya mahu menjalin hubungan dengan negara-negara majoriti muslim di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Selangor, Yudi Kurniawan Budi berkata, kenyataan Duta Israel ke Singapura, Sagi Karni itu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab di saat ketiga-tiga negara berkenaan mengutuk keras serangan rejim pengganas itu ke atas Palestin baru-baru ini. 

“Kerajaan digesa memberi amaran kepada Israel, jangan cuba bermain api dengan Malaysia. 

“Sebagai rakyat Malaysia, kami ingin menekankan bahawa Malaysia tidak akan tunduk dan menjalin sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, dan sebarang usaha ke arahnya akan mendapat tentangan dan bantahan habis-habisan oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yudi berkata, pihaknya akan terus meminta kerajaan Malaysia, Indonesia dan Brunei supaya mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk masuk campur serta menghukum kekejaman yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin dalam serangan selama 11 hari bulan lalu.

“Kami ingin mengulangi pendirian bahawa tiada sebarang hubungan dan jalinan dengan negara haram Israel akan dibuat, roh perjuangan dalam sanubari umat Islam di Malaysia terus mekar dan membara kerana perang 11 hari Palestin menentang kezaliman rejim Zionis Israel,” katanya.

Memetik laporan yang disiarkan Reuters semalam, Sagi menyatakan bahawa negara haram Israel berusaha menjalin hubungan dengan negara-negara majoriti muslim di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Kenyataan tidak bertanggungjawab Sagi diungkapkan selepas ketiga-tiga negara Islam Asia Tenggara itu mengutuk keras serangan udara Israel ke atas Gaza bulan lalu sehingga menyebabkan lebih 250 penduduk Palestin maut.

Sagi bagaimanapun berkata, kritikan daripada pemimpin tiga negara itu ‘tidak jujur’ dan mengabaikan ‘hakikat sebenar konflik’, yang menurutnya adalah antara Israel dan Hamas dan bukan rakyat Palestin.

Indonesia, Malaysia dan Brunei sebelum ini telah mendesak PBB untuk masuk campur dan menghentikan ‘kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin’.

Ketiga-tiga negara itu tidak mempunyai hubungan formal dengan Israel dan telah berulang kali meminta penghentian penjajahan Israel di wilayah Palestin serta bergerak ke arah penyelesaian dua negara berdasarkan perbatasan sebelum perang Timur Tengah 1967.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button