Berita Utama

Zahid kata nak beri sumbangan Palestin perlu guna platform kerajaan

Arahan koordinasi sumbangan kemanusiaan kepada rakyat Palestin melalui KLN

BANGI, 23 Jamadilawal 1445H, Khamis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta orang ramai terus membuat sumbangan kepada rakyat Palestin menggunakan platform yang disediakan kerajaan.

Langkah itu, katanya, bagi memastikan semua sumbangan individu dan pertubuhan untuk tujuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Palestin.

“Sebenarnya ia sudah menjadi arahan yang mana koordinasi ini (sumbangan kemanusiaan kepada rakyat Palestin) dilakukan KLN (Kementerian Luar).

“… kerana kita khuatir penyaluran bantuan diberikan kepada individu dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang seolah-olah bertindak mahu membantu Palestin.

“Namun, akhirnya perbelanjaan terbabit digunakan bagi urusan pentadbiran dan bukannya pergi kepada matlamat, iaitu kepada mangsa kezaliman di Gaza,” katanya seperti dilapor media tempatan pada Rabu.

Kenyataan Zahid itu dibuat susulan siasatan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Aman Palestin Berhad (Aman Palestin).

SPRM membekukan 41 akaun Aman Palestin Bhd (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762.00.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjelaskan dana Aman Palestin yang dibekukan tidak boleh dikeluarkan sehingga siasatan selesai.

Beliau dilaporkan berkata, SPRM tidak boleh begitu sahaja mengeluarkan dana itu sehingga semua siasatan selesai, termasuklah penjelasan berhubung penggunaan terhadap dana awam berjumlah jutaan ringgit.

Ia selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa SPRM membenarkan wang itu disalurkan kepada rakyat Palestin dan penduduk lain di Semenanjung Arab bagi menghadapi musim sejuk, walaupun NGO berkenaan masih dalam siasatannya.

Beliau juga mendakwa suruhanjaya itu turut sama mendera rakyat Palestin yang sedang menderita akibat Israel, sekiranya terus membekukan akaun Aman Palestin daripada menyalurkan wang ke Semenanjung Gaza.

Sebelum ini, Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengarah, Aman Palestin Berhad (Aman Palestin), Abdullah Zaik Abdul Rahman mendakwa punca utama badan bukan kerajaan (NGO) itu menjadi mangsa tohmahan sehingga diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana tidak menyalurkan bantuan melalui Kedutaan Palestin di Malaysia.

Sedangkan, katanya, sejak ditubuhkan 18 tahun lalu segala bantuan disalurkan terus kepada rakyat di bumi berdarah itu tanpa melalui kedutaan.

“Sebenarnya bukan NGO tidak hantar duit tetapi tidak menyalurkan bantuan melalui Kedutaan Palestin di Malaysia. Rakyat Malaysia sememangnya tidak mahu dan tidak setuju salur bantuan melalui kedutaan (Palestin di Malaysia),” katanya ketika sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Aman Palestin di Kajang, pada 27 November.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button