Dunia

Korea Selatan campur dan padan dos vaksin AstraZeneca, Pfizer

Tawar pemberian dos berlainan untuk lengkapkan vaksinasi 760,000 petugas kesihatan

SEOUL, 7 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Kira-kira 760,000 rakyat Korea Selatan yang telah menerima dos pertama vaksin AstraZeneca akan ditawarkan vaksin Pfizer-BioNTech bagi dos kedua ekoran kelewatan penghantaran melalui program global COVAX. 

Beberapa negara, termasuk Kanada dan Sepanyol telah bersetuju mencampur kedua-dua dos itu, ekoran bimbang mengenai pembekuan darah yang jarang berlaku dan berpotensi membawa maut – dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca. 

Kajian awal Sepanyol mendapati bahawa pemberian dos suntikan Pfizer-BioNTech kepada mereka yang mendapat suntikan AstraZeneca adalah selamat dan berkesan. 

Kira-kira 835,000 dos vaksin AstraZeneca dari COVAX dijadualkan tiba pada akhir bulan Jun, di mana Korea Selatan merancang untuk memberikan dos kedua kepada kira-kira 760,000 petugas kesihatan yang telah menerima dos pertama pada April. 

Bagaimanapun, penghantaran itu ditangguhkan dan dijangka tiba pada Julai atau selepasnya, tatkala Korea Selatan bercadang menggunakan AstraZeneca bagi memenuhi penyertaan dalam kempen vaksinasi. 

Setakat Khamis, lebih 27 peratus daripada 52 juta penduduknya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, dan negara itu menyasarkan 70 peratus penerima pada September dan mencapai tahap imuniti kelompok sebelum bulan November. 

Bulan lalu, Korea Selatan memaklumkan akan melakukan percubaan klinikal dengan menggabungkan dos dari AstraZeneca dengan Pfizer-BioNTech dan dos vaksin lain. 

Setakat ini, 100 petugas kesihatan telah melakukan percubaan untuk mengkaji pembentukan antibodi dan kesan imun lain, kata Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA), Jeong Eun-kyeong. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button