Berita Utama

Banjir: DBKL sedia bantu bersih kawasan terjejas luar KL

Situasi di Kl terjejas teruk babit 1,056 keluarga

KUALA LUMPUR, 21 Jamadilawal 1443H, Ahad – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan turut membantu membersihkan kawasan pasca banjir melibatkan jentera berat di kawasan luar ibu kota khususnya di Lembah Klang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, setakat ini lebih 20 lori dan 10 mesin pengorek telah digerakkan bagi membantu membersihkan kawasan terjejas banjir di Hulu Langat, Selangor serta Bentong, Temerloh dan Mentakab di Pahang.

“Saya dah cadang juga kepada tuan DO (pegawai daerah) tadi agar kita ‘outsource’ (cari khidmat luar) NGO (badan bukan kerajaan) untuk beri bantuan dalam bentuk sewa lori dan ‘backhoe’ (pengorek kaut) yang lebih diperlukan.

“Bermula esok ada satu NGO yang akan bantu di sini (Puchong), dengan sewa lori membabitkan tiap satu pasukan ada satu ‘backhoe’ dan tiga lori untuk alihkan sampah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan terjejas banjir sekitar Puchong, dekat sini hari ini.

Shahidan turut meminta semua pihak lain termasuk NGO untuk lebih fokus menyalurkan bantuan yang lebih diperlukan untuk situasi pasca banjir memandangkan sumbangan seperti makanan dilihat seakan menjadi lambakan.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, DBKL turut bersiap siaga dengan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir.

Katanya, situasi di Kuala Lumpur yang juga terjejas teruk melibatkan 1,056 keluarga, selain mencatatkan lebih 80 kes cerun runtuh minggu lalu kini berada di bawah kawalan.

Terdahulu, Shahidan menyertai tinjauan kawasan banjir di sekitar Puchong bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button