Berita UtamaDunia

Erdogan syor undi hak berhijab

Isu tudung dominasi perdebatan politik menjelang PRU

ANKARA, 26 Rabiulawal 1444H, Ahad – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengesyorkan undian di seluruh negara bagi menjamin hak wanita bertudung di institusi negara, sekolah dan universiti.

Isu tudung telah mendominasi perdebatan politik menjelang Pilihan Raya Umum 2023 yang bakal menjadi salah satu cabaran paling serius kepada penguasaan dua dekad Erdogan ke atas Turki.

Erdogan sering merujuk kepada penarikan larangan itu sebagai contoh bagaimana partinya mewakili orang Turki Islam menentang parti sekular yang memerintah Turki sebelum 2002.

“Jika anda mempunyai keberanian, mari kita letakkan isu ini kepada referendum… Biar negara membuat keputusan,” kata Erdogan dalam ucapan ditujukan kepada pemimpin utama parti pembangkang, Kemal Kilicdaroglu pada Sabtu.

Kilicdaroglu mengetuai parti sekular Republik Rakyat (CHP) – sebuah parti yang ditubuhkan oleh pengasas republik Turki moden sekular, Mustafa Kemal Ataturk.

Pemimpin CHP telah mencadangkan undang-undang untuk menjamin hak bertudung bagi mengurang sebarang kebimbangan pihak itu akan mengembalikan larangan berkenaan.

Tudung menjadi perdebatan utama pada 1990-an, namun tiada pihak hari ini mencadangkan pengharamannya di Turki yang majoritinya beragama Islam.

“Kami telah melakukan kesilapan pada masa lalu mengenai tudung. Sudah tiba masanya untuk meninggalkan isu itu,” kata Kilicdaroglu.

Menurut pakar, Kilicdaroglu berusaha untuk menunjukkan kepada pengundi agama mereka tidak perlu bimbang daripada mengundi parti sekular tahun depan.

Sebagai tindak balas, Erdogan mencadangkan perubahan perlembagaan yang ‘tidak lama lagi’ dihantar untuk kelulusan kepada Parlimen di mana partinya memegang majoriti kecil dengan rakan perikatan nasionalis.

Bagaimanapun di bawah undang-undang Turki, perubahan memerlukan 400 penggubal undang-undang untuk meluluskan tanpa memerlukan referendum, oleh itu CHP perlu memberi sokongan.

Jika tidak, dengan 360 undi, satu cadangan boleh dikemukakan kepada rakyat.

“Jika isu ini tidak dapat diselesaikan di Parlimen, kami akan serahkan kepada rakyat,” kata Erdogan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button