Berita Utama

PPMM hantar surat kepada ICC, UNHCR berhubung isu Palestin

Mohon keluar segera kenyataan siasatan rasmi dakwaan jenayah perang

BANGI, 7 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) memohon Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk segera mengeluarkan kenyataan berhubung siasatan rasmi dakwaan jenayah perang yang berlaku di wilayah Palestin.

Menurut laporan media tempatan hari ini, PPMM menghantar surat kepada ICC bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung siasatan itu.

Berdasarkan edaran surat yang diberikan kepada Utusan Malaysia, ICC pada Februari lalu memutuskan pihaknya mempunyai hak dan kuasa untuk menjalankan siasatan di Palestin.

Menurut surat itu, ICC kemudiannya membuat permohonan untuk memulakan siasatan pada Mac melibatkan semua perkara yang berlaku di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza sejak Jun 2014.

“Sebagai ahli komuniti antarabangsa, PPMM mendapati masih belum ada kenyataan rasmi daripada Pejabat Pendakwa Raya ICC tentang kedudukan siasatan mereka.

“Oleh itu, PPMM memohon kepada ICC untuk segera mengeluarkan kenyataan rasmi tentang perjalanan siasatan setakat ini,” katanya.

Selain itu, PPMM dilaporkan turut menghantar surat kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) terhadap kesediaan badan dunia itu menyiasat insiden serangan Masjid al-Aqsa.

Katanya, UNHRC mengadakan mesyuarat khas pada 27 Mei lepas yang mana satu resolusi telah diluluskan dan mengarahkan presiden badan berkenaan menubuhkan suruhanjaya bebas siasatan antarabangsa.

Sehubungan itu, PPMM mencadangkan penubuhan pasukan keselamatan pendamai yang boleh ditugaskan untuk mengiringi dan menjaga keselamatan pasukan penyiasat di sana.

Difahamkan, perutusan surat telah dimaklumkan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button