Berita UtamaDunia

10 penumpang ditikam lelaki dalam kereta api komuter di Jepun

Suspek menyerah di kedai serbaneka selepas melarikan diri

TOKYO, 28 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Seorang lelaki menikam sekurang-kurangnya 10 penumpang dalam kereta api komuter di ibu negara Jepun, Tokyo sebelum melarikan diri, kata pegawai bomba dan laporan berita.

Stesen televisyen awam NHK mengatakan seorang penumpang cedera parah ekoran serangan yang berlaku, semalam dalam kereta api di Setagaya, di sebelah barat Tokyo.

Jabatan Bomba Tokyo mengatakan sembilan daripada 10 penumpang yang cedera dibawa ke hospital berdekatan, sementara mangsa ke-10 mampu berjalan kaki. 

Semua yang cedera berada dalam keadaan sedar, kata pegawai bomba.

Bagaimanapun, seorang wanita berusia 20-an mengalami kecederaan punggung yang serius, lapor NHK.

Kereta api tersebut dilaporkan dibawa ke perhentian kecemasan setelah operator diberi amaran oleh penumpang.

Lokasi kejadian itu hanya terletak beberapa kilometer dari tempat acara sukan berkuda Olimpik.

Seorang saksi di stesen berdekatan di mana kereta api berhenti mengatakan penumpang bergegas keluar dan menjerit bahawa ada tikaman berlaku dan meminta pertolongan cemas.  

Seorang saksi lain memberitahu NHK bahawa dia melihat penumpang berlumuran darah keluar dari kereta api.

Puluhan anggota paramedik dan polis tiba di stesen selepas itu, kata salah seorang saksi.

Difahamkan, suspek lelaki, berusia 20-an, meninggalkan pisau ketika melarikan diri.

Dia bagaimanapun menyerahkan diri di sebuah kedai serbaneka dan dibawa oleh polis setelah memberitahu pengurus kedai bahawa dia adalah pelaku serangan itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button