Berita Utama

Elak kluster baharu, vaksinasi calon SPM, STPM langkah terbaik

Suntikan vaksin di sekolah cegah penerima terdedah komuniti luar

BANGI, 8 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Pemberian vaksin kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah langkah terbaik mengelakkan kewujudan kluster baharu di sekolah.

Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, langkah itu juga penting bagi menurunkan kadar jangkitan harian dan kes dalam komuniti.

“Saya sambut baik cadangan atau saranan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk beri vaksin kepada calon peperiksaan.

“Ini merupakan keutamaan kerana sebelum ini kita lihat apabila sekolah dibuka, ada dilaporkan kluster baharu yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah khususnya pelajar sekolah berasrama,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Terdahulu, Khairy berkata, calon SPM dan STPM bakal menerima suntikan vaksin akhir bulan depan.

Katanya, suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech itu akan diadakan di sekolah.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) bersetuju untuk memberikan vaksin COVID-19 kepada pelajar kelas peperiksaan tahun ini.

Tambah Radzi, cadangan itu telah diusahakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan pelajar-pelajar berkenaan diberi keutamaan.

Mengulas lanjut, Prof Mohd Dzulkhairi berkata, cadangan suntikan yang bakal dilakukan di sekolah masing-masing adalah tepat bagi mencegah penerima vaksin terdedah dengan komuniti luar.

“Saya juga sarankan kepada mereka yang berumur 12 tahun ke atas ambil peluang ini daftar pada kadar segera.

“Jangan risau, tiada kesan sampingan lain terhadap mereka yang di bawah 18 tahun ini.

“Kesannya sama saja kerana ia bergantung pada individu. Jadi, tiada masalah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button