Berita Utama

Hampir 30,000 tandatangan bantah kajian ‘gender ketiga’ SUHAKAM

Jumlah petisyen itu setakat jam 6.30 petang di platform change.org

BANGI, 8 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Hampir 30,000 tandatangan telah diturunkan sebagai membantah kajian pengiktirafan ‘gender ketiga’ oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Setakat jam 6.30 petang ini, petisyen yang dilancarkan di platform change.org oleh Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) itu berjaya mengumpul 29,798 tandatangan.

Dalam petisyen itu, Pengerusi Bersama MACSA, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar menggesa, rakyat Malaysia untuk menyokong petisyen berkenaan bagi mendesak SUHAKAM membatalkan kajian tidak bebas ke arah menyokong pengiktirafan jantina ketiga.

Prof Rafidah berkata, MACSA kesal dan membantah kajian bertajuk ‘Feasibility Having Legislation on the Recognition of a Third Gender in Malaysia’ kerana dapatan kajian (Research Outcome) dan kaedah menyampaikan dapatan kajian (Deliverables) nyata bertentangan dengan agama, budaya dan undang-undang Syariah.

Malah, SUHAKAM menetapkan bahawa apa pun dapatan kajian, ia mestilah menjadi asas membentuk ‘Law Reforms’ atau meminda undang-undang sedia ada ke arah pengiktirafan transgender sebagai jantina ketiga di Malaysia.

Ini termasuklah undang-undang dalam pelbagai enakmen Syariah yang terpakai di seluruh negara.

Selain itu, laporan kajian juga mestilah mengandungi rekomendasi kepada kerajaan untuk membentuk undang-undang bagi pengiktirafan transgender dengan membenarkan penukaran nama dan identiti jantina pada dokumen pengenalan diri.

Bahkan, laporan kajian juga mestilah mencadangkan penggubalan polisi dan undang-undang semasa ke arah pengiktirafan gender ketiga.

Prof Rafidah berkata, MACSA meraikan kebebasan mana-mana pihak untuk menjalankan kajian, namun nyata kajian ditawarkan SUHAKAM itu adalah tidak bersifat bebas dan mempunyai ‘preconceived idea’ yang bertentangan dengan nilai-nilai kekeluargaan, keagamaan serta budaya di Malaysia.

Justeru, beliau menggesa SUHAKAM untuk kembali menghormati peruntukan Seksyen 4 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 (Akta 597) yang dengan jelas membataskan kuasa SUHAKAM berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button