Uncategorized

Kerajaan teliti permohonan sektor perniagaan operasi hingga 10 malam

Perkara perlu ambil kira pelbagai pandangan sebelum dilaksana

JELI, 8 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Kerajaan sedang meneliti permohonan pemain industri untuk membenarkan operasi sektor perniagaan dilanjutkan hingga 10 malam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata perkara berkenaan perlu mengambil kira pelbagai pandangan memandangkan ada perbezaan pendapat mengenainya.

“Sekarang kerajaan belum membuat keputusan berhubung perkara ini (operasi perniagaan dilanjutkan hingga 10 malam) tetapi rayuan itu ada dan kita faham keperluan kenapa ia perlu dilanjutkan.

Namun, kita ada dua isu iaitu satu kumpulan di Malaysia merasakan apabila kes masih mencatatkan 5,000 hingga 6,000 sehari, mereka mahu supaya peraturan diperketat lagi. Maknanya, kerajaan perlu ambil tindakan supaya jangan buka terlalu banyak sektor ekonomi.

Ada satu kelompok seperti peniaga, pemilik restoran, perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS) yang tertekan lebih dari setahun ini berharap serta memohon kerajaan melonggarkan sedikit peraturan itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Khidmat Masyarakat Vaksinasi di Pejabat Ahli Parlimen Jeli, di sini hari ini.

Menerusi pelaksanaan PKP 3.0 ketika ini, waktu operasi bagi kebanyakan sektor ekonomi yang dibenarkan dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata perkara itu akan dipertimbangkan dan diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berpandukan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kewangan.

“Pihak berkaitan yang menguruskan krisis sebegini, sudah pasti mereka akan lihat yang mana terbaik untuk dilaksanakan bagi rakyat dan negara. Apa yang pasti, akan ada keseimbangan,” katanya.

Mengenai perkembangan moratorium bagi mereka yang terkesan dengan PKP 3.0, Ahli Parlimen Jeli itu berkata Kementerian Kewangan bersama industri perbankan sedang meneliti dan mengkaji rayuan daripada pelbagai pihak termasuk persatuan-persatuan seluruh negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button