Berita Utama

KPM perlu bantu lebih 1,000 pengusaha kantin sekolah terjejas

Kecualikan sewa premis, lanjutkan kontrak untuk tempoh 2 tahun

BANGI, 8 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Lebih 1,000 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara terjejas ekoran penutupan sesi persekolahan akibat wabak pandemik COVID-19.

Ini kerana, sektor persekolahan akan terus ditutup sehinggalah fasa pemulihan bermula, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Justeru, beliau menyarankan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya membantu golongan pengusaha kantin sekolah sehingga sektor itu kembali pulih.

Mohamad berkata, keputusan kerajaan membenarkan vaksinasi bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas dan pelajar peperiksaan umum sangat dialu-alukan.

“Semua ini akan mempercepatkan pembukaan sektor persekolahan dan memulihkan sistem pembelajaran dan pengajaran.

“Sementara menunggu semua intervensi tersebut berlaku, janganlah kita lupa kepada sektor sokongan seperti pengusaha kantin sekolah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, KPM wajar mengecualikan semua sewa premis kantin sekolah dalam tempoh sektor itu ditutup.

“Lanjutan kontrak semua pengendali kantin sekolah juga wajar dilanjutkan selama dua tahun lagi, bagi menampung kehilangan peluang dan pendapatan selama hampir dua tahun kerana penutupan sektor persekolahan.

“Pada saat sebegini, apa juga tindakan yang dapat mengurangkan beban rakyat mesti menjadi keutamaan tertinggi kerajaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button