MAQIS Selangor tahan kayu red oak dari AS bernilai lebih RM88,000
Tidak menyatakan rawatan di dalam sijil fitosanitasi

SHAH ALAM, 8 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor menahan kayu jenis red oak dari Amerika Syarikat (AS) seberat 28.737 kilogram (kg) bernilai RM88,285.61 kelmarin.
Pengarah MAQIS Selangor Zamri Hashim berkata, penahanan itu dibuat susulan pemeriksaan di Pelabuhan Klang Utara pada 11 pagi.
“Penahanan red oak lumber ini atas kesalahan tidak mematuhi syarat import MAQIS iaitu tidak menyatakan rawatan di dalam sijil fitosanitasi sebagaimana dalam permit, lesen dan perakuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zamri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(2), akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Pihak MAQIS akan terus memperketatkan kawalan sempadan dan tiada kompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara bagi memastikan komoditi pertanian mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan,” katanya. -Bernama