Berita Utama

MOVAK bantu tingkat pendaftaran, penerima vaksin COVID-19

Sebagai inisiatif Kementerian Perpaduan Negara sokong PICK

BANGI, 8 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Kementerian Perpaduan Negara melancarkan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) sebagai inisiatif menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Program yang dilancarkan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique hari ini bertujuan untuk meningkatkan jumlah pendaftaran dan penerimaan vaksin di kalangan rakyat.

Kementerian itu berkata, MOVAK membabitkan tiga unit gerak kerja yang dikendalikan oleh sukarelawan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) iaitu Unit Panggilan, Unit Mobilisasi dan Unit Tindakan Komuniti.

Katanya, Unit Panggilan berfungsi untuk membuat panggilan pengesahan dan peringatan kepada penerima vaksin yang telah mendaftar berkenaan tarikh janji temu.

Sementara, Unit Mobilisasi berperanan menyediakan pengangkutan untuk penerima vaksin COVID-19 mengambil suntikan di PPV.

Bagi Unit Tindakan Komuniti pula berfungsi sebagai perkhidmatan ‘outreach’ kepada masyarakat setempat bagi membantu pendaftaran, kempen kesedaran dan pemakluman berkaitan keputusan kerajaan berhubung COVID-19.

“Datuk Halimah Mohamed Sadique yakin Program MOVAK ini akan dapat mempercepatkan lagi kadar pemberian vaksin di Malaysia, terutama di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

“Program MOVAK ini dilaksanakan secara kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tempoh dua bulan dan akan digerakkan ke negeri-negeri lain termasuk Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu,” kata kementerian itu.

Dalam majlis pelancaran MOVAK di Dewan Felda Lok Heng Barat hari ini, Halimah turut menyerahkan sebuah bas yang telah diubahsuai untuk dijadikan Unit Mobilisasi Vaksin Komuniti kepada Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana dan Pengerusi COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) peringkat Kota Tinggi.

Program itu turut membabitkan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi dan seramai 498 penduduk Felda Lok Heng mendapat suntikan vaksin COVID-19 hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button