Berita Utama

Ordinan Darurat tingkat keupayaan KKM tangani COVID-19

Beri kesan efektif ke arah usaha melandaikan lengkuk

PUTRAJAYA, 8 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada 14 Jan 2021 merupakan antara instrumen penting untuk mengoptimumkan keupayaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menguruskan pandemik COVID-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menegaskan Ordinan Darurat itu memberi kesan efektif ke arah usaha melandaikan lengkuk COVID-19 di Malaysia, selain lima strategi yang ditetapkan KKM bagi menjayakan matlamat berkenaan.

Menjelaskan perkara berkenaan, beliau berkata menerusi ordinan itu, ia antara lain memberi kuasa untuk melibatkan pihak swasta dalam membantu mengurus sekali gus mengekang pandemik COVID-19 daripada terus menular.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan PKP 2.0, general practitioner (doktor) tiada kuasa untuk berbuat demikian tetapi menggunakan Ordinan Darurat, mereka yang berdaftar dengan KKM kini boleh memberikan HSO (Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah), diberikan kuasa untuk menjalankan CAC (pusat penilaian COVID-19), merawat dan memantau pesakit kategori satu dan dua.

Selain itu, menerusi ordinan itu, ia juga membolehkan fasiliti kesihatan swasta digunakan untuk merawat pesakit COVID-19 dan memastikan penetapan fi maksima ujian pengesanan yang dijalankan makmal dan fasiliti kesihatan swasta yang mana kita tetapkan caj ujian RT PCR adalah RM150, RTK Antigen tidak lebih RM60, RTK antibodi tidak melebihi RM50 di Semenanjung,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Adham berkata selain membolehkan pengambilalihan aset-aset penting negara, ordinan berkenaan juga membolehkan pengamal perubatan untuk ditempatkan di kawasan selain daripada yang ditetapkan dalam Sijil Amalan Tahunan.

Sementara itu, mengulas mengenai Pelan Pemulihan Negara, beliau berkata fasa pertama (pada Jun) dilaksanakan apabila bilangan kes harian melebihi 4,000 sehari dengan kapasiti perkhidmatan kesihatan untuk respons adalah terhad dan kritikal melebihi 70 peratus.

Untuk beralih ke fasa kedua (Julai-Ogos), beliau berkata jumlah purata tujuh hari kes COVID-19 mestilah berada antara 2,000 hingga 4,000 kes dengan kadar penggunaan katil ICU antara 50 ke 70 peratus, selain liputan vaksin mencapai sekurang-kurangnya 10 peratus.

“Pelan pemulihan boleh diteruskan ke fasa ketiga (September-Oktober) apabila purata tujuh hari kes menurun kepada kurang daripada 2,000 tetapi melebihi 500 kes sehari, kapasiti respons adalah mencukupi dengan kadar penggunaan katil ICU kurang 50 peratus dan vaksinasi mencapai 40 peratus,” katanya.

Bagi fasa keempat pula, Dr Adham berkata ia boleh dilaksanakan apabila purata tujuh hari kes adalah kurang daripada 500 berserta penggunaan katil ICU kurang daripada 50 peratus dan liputan vaksinasi mencapai 60 peratus.

Beliau berkata sebelum pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuat kuasa pada 1 Jun lepas, kadar penggunaan katil ICU telah mencecah 108 peratus iaitu peratusan tertinggi, namun selepas dua minggu PKP 3.0, trend penggunaan katil ICU menurun sehingga 94 peratus.

Sementara itu, Dr Adham berkata nilai sasaran atau “threshold” bagi purata tujuh hari kes COVID-19 antara lain ditetapkan berdasarkan kadar positiviti, nilai R-naught, kehadiran varian-varian baharu dan kemampuan sistem perkhidmatan kesihatan termasuk kemasukan kes ke hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Ia juga bergantung kepada kemampuan premis menempatkan kes serta ketersediaan anggota kesihatan untuk merawat kes di ICU, menjalankan siasatan kes di lapangan sama ada di hospital atau rumah, membuat susulan harian ke atas kes COVID-19 positif yang diletakkan di bawah HSO dan menjalankan siasatan kontak rapat.

Selain itu, beliau berkata KKM menetapkan lima strategi bagi melandaikan lengkuk COVID-19 iaitu memutuskan rantaian transmisi, mengurangkan morbiditi dan kematian, memperkukuh diagnostik dan survelan bagi mengesan awal kes COVID-19, mencapai imuniti kelompok serta meningkatkan kesedaran dan pembudayaan normal baharu.

Katanya lima strategi itu adalah untuk memastikan matlamat Pelan Pemulihan Negara berjaya dicapai mengikut sasaran. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button