Berita Utama

Pembangkang nafi minta peruntukan untuk bayar ‘TikTokers’

‘Mereka sudah diajar berjuang tanpa harapkan balasan’

BANGI, 7 Rabiulakhir 1445H, Ahad – Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden menafikan pembangkang meminta peruntukan bagi membayar pempengaruh media sosial TikTok atau juga dikenali sebagai ‘TikTokers’.

Beliau menegaskan pihaknya tidak perlu membuat bayaran kepada pencipta kandungan yang berkempen dan ‘bertempur’ bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) berikutan kerja-kerja berkenaan dilakukan secara sukarela demi menegakkan Islam.

“Kita nak beritahu, TikTokers kita bekerja tanpa bayaran dan atas sebab itulah yang menentukan kemenangan kita pada hari ini.

“Mereka berjuang tanpa bayaran, tanpa ganjaran tapi mereka dihina seorang pemimpin sebelah sana bertaraf menteri kononnya kita bayar TikTokers, kononnya peruntukan kita minta untuk bayar TikTokers,” katanya pada ucapan penggulungan sempena Muktamar PAS ke-69 di Shah Alam, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, ahli-ahli PAS sudah diajar berjuang tanpa mengharapkan balasan.

Tegasnya, perkara itu yang membezakan PAS dengan parti-parti lain di negara ini.

Terdahulu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan tidak mahu peruntukan wakil pembangkang digunakan untuk membayar pencipta kandungan di TikTok.

Sebaliknya, beliau berkata, peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang akan disalurkan dalam bentuk projek serta bantuan terus kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button