Berita UtamaDunia

Tipu tarikh luput, PA batal terima vaksin dari Israel

Israel dakwa tarikh luput vaksin pada Julai atau Ogos, sebaliknya Jun

RAMALLAH, 8 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Pihak Berkuasa Palestin (PA) membatalkan perjanjian untuk menerima vaksin COVID-19 dari negara haram Israel, setelah mendapati tarikh luputnya lebih cepat daripada yang telah disepakati.

Sebelum ini, Israel dan PA mengumumkan perjanjian pertukaran vaksin pada awal Jumaat, yang akan menyaksikan pemberian hingga 1.4 juta dos Pfizer-BioNTech oleh negara haram.

Sebagai pertukaran, rejim Zionis akan menerima jumlah dos setimpal daripada PA pada akhir tahun ini.

PA berkata, perjanjian itu dipersetujui bagi mempercepat proses vaksinasi untuk penduduk di Tebing Barat dan Gaza yang diduduki.

Menteri Kesihatan PA, Mai Alkaila berkata, Israel memberitahu pihaknya bahawa tarikh luput vaksin berkenaan adalah pada bulan Julai atau Ogos.

“Namun, sebaliknya tarikh luputnya (vaksin) adalah pada bulan Jun. Jadi, tidak cukup masa untuk kami gunakannya dan atas sebab itu kami menolaknya,” katanya.

Pada masa sama, jurucakap PA berkata, pihaknya akan segera mengembalikan kira-kira 90,000 dos vaksin kepada negara haram Israel.

Sementara itu, pejabat pemimpin Israel, Naftali Bennett tidak memberi sebarang komen mengenai perkara itu.

Kira-kira 30 peratus rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza yang telah memenuhi syarat menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Palestin pada Selasa melaporkan, 40 peratus penduduk Palestin bersedia untuk divaksin, manakala 35 peratus lagi masih belum bersedia.

Terdahulu, rakyat Palestin telah menerima dos vaksin dari Israel, Russia, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan program Pembekalan Vaksin COVID-19 Ke Negara Miskin (COVAX). – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button