Berita Utama

Usah takut adakan sidang Parlimen, terjemah segera titah Agong

BERJASA harap usul Ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara diutamakan

BANGI, 8 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Tiada apa yang perlu ditakutkan untuk membuka sidang Parlimen secepat mungkin, tegas Ketua Penerangan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Hazwan Mohamad.

Beliau berkata, sidang Parlimen tidak perlu diadakan pada bulan September, sebaliknya masa paling rasional adalah pada pertengahan bulan hadapan

Katanya, ia selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Tambahnya, titah Yang di-Pertuan Agong bukan hanya untuk dijunjung, tetapi perlu diterjemah dengan tindakan yang bersungguh-sungguh.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri) tidak perlu takut untuk buka sidang Parlimen. Buat secara hibrid,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara berkata, sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa Ketiga Strategi Pelan Pemulihan Negara iaitu sekitar September atau Oktober ini, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Perdana Menteri menegaskan, beliau kekal dengan pendiriannya bahawa sistem demokrasi berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, setelah kes COVID-19 terkawal dan hampir mencapai imuniti berkelompok.

Mengulas lanjut, Hazwan juga yakin bahawa Speaker Dewan Rakyat kekal menyokong Perikatan Nasional (PN), sekiranya kerajaan khuathir mengenai usul undi tidak percaya yang mungkin diadakan.

Selain itu, beliau turut menyarankan usul berkaitan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara perlu diutamakan serta dibahas secara profesional, matang selain tidak melakukan sebarang provokasi.

“Jika usul perlukan undi belah bahagi kerajaan kalah?

“Terima sajalah, bukan kerajaan tumbang pun. Tercalar reputasi itu mungkin. Tapi sekiranya usul itu adalah untuk kebaikan rakyat, dan kalah, sudah pasti kerajaan boleh ‘gain mileage’ politik untuk burukkan AP (Ahli Parlimen) yang menolak usul,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button