Berita Utama

Vaksin calon SPM, STPM keputusan terbaik jamin keselamatan pelajar

Keciciran dapat dielak terutama bagi golongan kurang kemampuan

BANGI, 8 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Keselamatan pelajar sebelum menduduki peperiksaan dijamin susulan keputusan kerajaan untuk memberi vaksin kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Lantaran itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, pelajar akan berasa yakin dan selamat bagi meneruskan pembelajaran di sekolah.

Menyifatkan pemberian vaksin itu sebagai langkah tepat, Ustaz Mohd Azizee berkata, isu keciciran dalam pembelajaran juga dapat dielakkan terutamanya bagi golongan kurang berkemampuan menyediakan kemudahan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

“Ini merupakan satu berita baik kepada pelajar SPM dan STPM tahun ini. Sekolah dapat dibuka awal dan menjadikan pelajar SPM atau STPM lebih bersedia menghadapi peperiksaan.

“Kita faham PdPR banyak memberi kesan dari segi motivasi dan keletihan serta kekangan internet,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau turut mencadangkan supaya suntikan vaksin dapat diutamakan di kawasan berisiko tinggi khususnya zon merah dan diperluas ke seluruh negara pada kadar segera.

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, calon SPM dan STPM bakal menerima suntikan vaksin akhir bulan depan.

Katanya, suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech itu akan diadakan di sekolah.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bersetuju untuk memberikan vaksin kepada pelajar kelas peperiksaan tahun ini.

Tambah Radzi, cadangan itu telah diusahakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan pelajar-pelajar berkenaan diberi keutamaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button