Berita Utama

Fokus selamatkan PKS, tak perlu kompromi desakan ‘industri dosa’

Apakah ini sebabnya arak masih boleh dijual ketika 'lockdown', walhal banyak kategori barangan lain tak boleh dijual?

BANGI, 9 Zulkaedah 1442H, Ahad – Kerajaan tidak perlu berkompromi dengan sebarang desakan atau permintaan ‘industri dosa’ ketika pandemik COVID-19, sebaliknya fokus menyelamatkan peniaga kecil dan sederhana yang rata-ratanya bergelut untuk terus hidup.

Mengetengahkan perkara itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, peniaga-peniaga kecil dan sederhana jauh lebih ramai berbanding taikun-taikun ‘industri dosa’ ini.

“Mereka inilah marhaen, yang jauh lebih memerlukan pembelaan kerajaan pada waktu-waktu krisis ini.

“Ingatlah bahawa masa depan negara bergantung pada tindakan kerajaan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan tindakan seorang penganalisis ekonomi dan kewangan meminta kerajaan mencari jalan terbaik untuk memastikan industri melibatkan alkohol, rokok dan perjudian juga tidak terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Penganalisis itu dilaporkan berkata, ini kerana industri berkenaan juga merupakan antara penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia.

Menurutnya, walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperlukan bagi mengehadkan pergerakan orang ramai dan meratakan lengkungan bagi menangani pandemik COVID-19 ini, tetapi ketidaktentuan dan kekeliruan mengenai apa yang dikategorikan sebagai barangan penting atau tidak selain prosedur operasi standard (SOP) yang tidak jelas tidak bagus untuk perniagaan.

Bahkan katanya, cukai eksais yang kebanyakannya dikenakan ke atas ‘industri dosa’ adalah penyumbang hasil yang besar kepada kerajaan.

Misalnya pada tahun 2020, kerajaan memungut hampir RM10 bilion dari segi cukai eksais dan ia adalah 23.5% daripada jumlah keseluruhan cukai tidak langsung sebanyak RM41.9 bilion yang diperoleh pada tahun 2020.

Atas dasar itu, Haji Aminuddin melontarkan persoalan sama ada alasan berkenaan sebab pusat-pusat judi sukar ditutup walaupun ketika PKP.

“Apakah ini sebabnya arak masih boleh dijual ketika ‘lockdown’ tatkala banyak kategori barangan lain tidak boleh dijual? Apakah ini sebabnya pusat-pusat pelacuran masih lagi ‘survive’ walaupun kita sudah laksanakan PKP setelah beberapa siri?

“Saya pasti apa yang terzahir di media hanyalah sedikit daripada gambaran besar ‘industri dosa’ ini, tetapi di belakang tabir pasti ada banyak usaha melobi agar kepentingan kesemua ‘industri dosa’ ini terus terpelihara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengakui, pada mulanya, tertanya-tanya mengapa tiba-tiba ramai pihak bersungguh-sungguh mempertahankan industri-industri yang merosakkan sebegini terutamanya sejak mulanya ‘lockdown’ yang diumumkan kerajaan.

“Sebelum ini, sudah ada beberapa pihak yang bersungguh-sungguh mempertahankan industri pengilangan arak dan ada juga segelintir mempertahankan industri perjudian seolah-olah ekonomi negara akan mati dan masyarakat akan merana tanpanya.

“Kali ini, saya sedar apa yang dipertahankan itu berkait antara satu sama yang lain di bawah nama ‘industri dosa’.

“Ini memberikan gambaran bahawa apa sahaja kemaksiatan (dosa) yang sudah ‘establish’ dalam bentuk industri iaitu yang menjurus kepada keuntungan wang, pasti akan dipertahankan dari arah yang kita tidak sangka-sangka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button