Berita Utama

Guna polisi vaksin cacar air untuk COVID-19 bagi pelajar

Perhalusi langkah bolehkan semua pelajar terima vaksin

BANGI, 9 Zulkaedah 1442H, Ahad – Keputusan kerajaan memberi vaksin kepada pelajar kelas peperiksaan adalah perkembangan positif dan wajar diperlukan juga kepada pelajar lain, kata Profesor Madya Dr Malina Osman.

Beliau yang juga Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menyarankan kerajaan supaya memperhalusi langkah-langkah wajar bagi membolehkan semua pelajar sekolah dapat menerima vaksin tanpa sebarang isu.

Katanya, isu terbabit adalah termasuk kebenaran daripada ibu bapa dan penjaga.

Jelasnya, pihaknya juga bersetuju sekiranya kerajaan dapat mewajibkan pemberian kepada para pelajar.

“Satu ketika dahulu hanya kanak-kanak yang sudah mendapat suntikan vaksin bagi penyakit cacar air dibenarkan mendaftar sekolah.

“Jadi, saya fikir polisi yang sama boleh dilakukan untuk vaksin COVID-19 ini kerana virus ini boleh mengakibatkan kematian. Kita sudah melihat impaknya jika ramai yang dijangkiti,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, calon SPM dan STPM bakal menerima suntikan vaksin akhir bulan depan.

Katanya, suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech itu akan diadakan di sekolah.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bersetuju untuk memberikan vaksin kepada pelajar kelas peperiksaan tahun ini.

Tambah Radzi, cadangan itu telah diusahakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan pelajar-pelajar berkenaan diberi keutamaan.

Mengulas lanjut, Dr Malina berkata, pertimbangan yang sewajarnya mampu melindungi anak-anak daripada jangkitan selain mengelakkan mereka menjadi punca keluarga dijangkiti.

Tambahnya, pelaksanaan pemberian vaksin COVID-19 juga dilihat lebih mudah kerana boleh dilakukan secara mobil dan berpusat di sekolah sahaja.

“Pasukan bergerak boleh ke sekolah. Berikan sahaja suntikan vaksin kepada semua yang ada. Ia akan mempercepatkan lagi imuniti kelompok. Bagaimanapun ia juga bergantung kepada bekalan,” katanya.

Tegasnya lagi, tiada seorang individu terkecuali untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 kerana fokus ketika ini adalah memberikan vakisn kepada seramai mungkin penerima

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button