Berita Utama

Kajian iktiraf ‘gender ketiga’ SUHAKAM antara usaha progandakan agenda laknat

Arus LGBT sudah sampai ke negara, harus ditentang

BANGI, 9 Zulkaedah 1442H, Ahad – Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membantah kajian pengiktirafan gender ketiga oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Menyuarakan bantahan itu, Ketua Wanita ISMA, Dr Suriani Sudi berkata, arus gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) telah sampai ke negara dan harus ditentang.

Justeru, beliau meminta umat Islam di Malaysia agar bersatu hati dalam mendepani arus berkenaan yang semakin lama semakin kuat dan hampir mengkaramkan bahtera institusi kekeluargaan.

Dr Suriani turut mengajak masyarakat kembali kepada fitrah dan menolak pengiktirafan gender ketiga.

“Usaha SUHAKAM mengiktiraf gender ketiga di negara ini hanyalah sebahagian daripada usaha peringkat awal untuk mempropagandakan agenda laknat ini.

“Seperti yang berlaku di negara Barat seperti AS dan UK, mereka bermula dengan pengiktirafan gender ketiga dan pada hari ini kita lihat campur tangan pihak kerajaan dalam merosakkan nilai moral anak-anak melalui pendidikan, undang-undang dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberi contoh kesan yang timbul ke atas anak-anak di usia yang masih mentah berhubung isu berkenaan.

Antaranya menuntut agar kanak-kanak seawal usia enam tahun diberikan hak untuk menjalani pembedahan pertukaran gender serta pengambilan hormon tanpa kebenaran ibu bapa mereka.

“Di AS, terdapat kes di mana hak penjagaan ke atas anak-anak tersebut boleh dilucutkan sekiranya ibu bapa didapati ‘menghalang identiti gender anak-anak’.

“Di banyak negara Barat, homoseksualiti dipromosikan di peringkat sekolah rendah pada usia yang muda sebagai sebahagian daripada pendidikan seks,” katanya.

Biarpun begitu, Dr Suriani berkata, tidak boleh lari daripada hakikat bahawa identiti seksual ini berorientasikan budaya hedonisme yang hanya ingin memuaskan hawa nafsu dan dalam pada itu, kanak-kanak turut dimangsakan.

“Oleh itu, jangan hanya duduk diam sehingga arus ini berakar umbi dalam masyarakat kita dan memberi kesan mendalam kepada institusi kekeluargaan serta budaya penuh maksiat,” katanya sambil meminta rakyat bersama-sama menandatangani petisyen membantah kajian pengiktirafan gender ketiga SUHAKAM.

Petisyen itu dilancarkan Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) secara maya bagi menggesa SUHAKAM membatalkan kajian tidak bebas itu kerana bertentangan dengan nilai kekeluargaan dan prinsip Islam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button