Berita UtamaDunia

Lebih 500,000 korban COVID-19 di Brazil

Pakar beri amaran keadaan mungkin bertambah buruk

SAO PAULO, 9 Zulkaedah 1442H, Ahad – Angka kematian Brazil akibat wabak COVID-19 melepasi 500,000 pada hari Sabtu, tatkala pakar memberi amaran bahawa wabak kedua paling mengerikan di dunia berkemungkinan bertambah buruk.

Ini kerana vaksinasi yang tertangguh serta penolakan kerajaan untuk mengembalikan langkah-langkah penjarakan sosial.

Hanya 11 peratus penduduk Brazil yang diberi vaksin sepenuhnya dan ahli epidemiologi memberi amaran bahawa dengan musim sejuk tiba di hemisfera selatan dan varian baharu coronavirus yang menular, kematian akan terus meningkat biarpun imunisasi bertambah.

Brazil mencatatkan 500,800 kematian daripada 17,883,750 kes COVID-19 yang disahkan, menurut data Kementerian Kesihatan semalam – jumlah kematian rasmi terburuk di luar Amerika Syarikat (AS).

Sepanjang minggu lalu, rata-rata 2,000 kematian direkodkan di Brazil setiap hari.

COVID-19 terus menghancurkan negara-negara di rantau itu dengan Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) melaporkan 1.1 juta kes baharu COVID-19 dan 31,000 kematian di Amerika minggu lalu.

PAHO mencatat kenaikan di enam negeri Mexico, Belize, Guatemala, Panama dan beberapa tempat di Caribbean.

Pertubuhan itu memberi amaran bahawa keadaan COVID-19 di Colombia berada pada titik terburuk dengan katil unit rawatan rapi dipenuhi di bandar-bandar utama.

Pakar melihat jumlah kematian di Brazil, yang tertinggi di Amerika Latin, meningkat jauh lebih tinggi.

“Saya rasa kita akan mencapai 700,000 atau 800,000 kematian sebelum kita melihat kesan vaksinasi,” kata Gonzalo Vecina, bekas Ketua Kawal Selia Kesihatan Brazil, Anvisa, Gonzalo Vecina.

Beliau meramalkan percepatan kematian pada jangka masa terdekat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button