Berita Utama

EAIC siasat kes suspek utama Macau Scam lari

Pandang serius kes tersebut, selain telah buka kertas siasatan

PUTRAJAYA, 28 Safar 1442H, Jumaat – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kini menjalankan siasatan berhubung kejadian suspek utama kes Macau Scam melarikan diri selepas dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad lepas.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata EAIC memandang serius kes suspek melarikan diri dan punca yang menyebabkan perkara itu boleh berlaku.

“EAIC telah membuka kertas siasatan dan menjalankan siasatan awal di bawah Seksyen 28 Akta EAIC 2009 (Akta 700),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed hari ini dilaporkan berkata polis sedang memburu suspek kes judi dalam talian dan Macau Scam yang melarikan diri sejurus dibebaskan SPRM.

Lelaki dikenali sebagai Goh Leong Yeong berusia 32 tahun itu beralamat terakhir di Miharja Condo, Bt. 2 1/2, Off Jln Cheras, Kuala Lumpur.

Dilaporkan, seorang suspek sindiket ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan melibatkan selebriti tanah air, melarikan diri daripada ditahan pihak polis dengan memanjat pagar Ibu Pejabat SPRM di sini menerusi bantuan dua pengawal peribadinya sebaik dilepaskan SPRM pada Ahad.

Mohd Sidek berkata EAIC akan memaklumkan tindakan selanjutnya yang diambil, seperti yang termaktub di bawah Akta 700. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button