Berita Utama

Malaysia wajib tolak hubungan dengan negara haram Israel

Beberapa negara di dunia telah buktikan kerajaan yang 'berbaik' dengan Israel ditentang rakyatnya

BANGI, 9 Zulkaedah 1442H, Ahad – Kerajaan Malaysia perlu menolak sebarang usaha untuk merapatkan hubungan dengan negara haram Israel tanpa mengira mana-mana pihak yang menganjurkan inisiatif berkenaan.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, Malaysia juga perlu kekal tidak mengiktiraf Israel sebagai negara sah serta terus berdiri teguh dengan rakyat Palestin.

Beliau berkata, usaha Israel untuk merapatkan hubungan dengan Malaysia, Brunei dan Indonesia hanya sekadar menyempurnakan pelan normalisasi negara penjajah itu, yang telah pun berjaya di beberapa negara Arab dan Afrika.

“Beberapa negara di dunia telah membuktikan bahawa kerajaan yang mengambil sikap berbaik dengan Israel akan ditentang oleh rakyatnya.

“Nasib yang sama bakal berlaku kepada Malaysia jika kerajaan menerima ajakan Israel untuk merapatkan hubungan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, agensi berita Reuters melaporkan, Israel berusaha menjalin hubungan dengan negara-negara majoriti muslim di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Sebelum ini, ketiga-tiga negara Islam Asia Tenggara itu mengutuk keras serangan udara Israel ke atas Gaza bulan lalu sehingga menyebabkan lebih 250 penduduk Palestin maut.

Indonesia, Malaysia dan Brunei sebelum ini telah mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk masuk campur dan menghentikan ‘kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin’.

Ketiga-tiga negara itu tidak mempunyai hubungan formal dengan Israel dan telah berulang kali meminta penghentian penjajahan Israel di wilayah Palestin serta bergerak ke arah penyelesaian dua negara berdasarkan perbatasan sebelum perang Timur Tengah 1967.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button