Berita Utama

Sokongan bersyarat PN bukti kerajaan baharu Ismail Sabri tak stabil

BERJASA syor isytihar darurat politik, wujud majlis pemulihan negara sementara

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Muharram 1443H, Jumaat – Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menyifatkan kerajaan baharu yang bakal dibentuk di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukanlah sebuah pemerintahan yang stabil.

Ini kerana, pembentukan kerajaan itu sangat bergantung kepada kepuasan pimpinan-pimpinan parti yang menyokongnya, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Apatah lagi, perkara itu jelas dinyatakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan, semalam.

Muhyiddin berkata, seramai 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti-parti gabungan PN, iaitu 31 daripada Bersatu, 18 (PAS) dan satu (STAR) bersetuju menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri dengan bersyarat.

Perdana Menteri ‘caretaker’ itu berkata, Ismail Sabri perlu memastikan ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik adalah mereka berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Katanya, syarat berkenaan selaras dengan prinsip PN untuk mempertahankan kerajaan yang berintegriti.

Mengulas perkara itu, Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, syarat yang diberikan oleh Muhyiddin itu pastinya memberi makna kepada kelangsungan kerajaan baharu kelak.

“Pembentukan barisan Kabinet nanti adakah berasaskan kepada keperluan negara atau untuk memenuhi selera pimpinan parti.

“Kalau sebelum ini UMNO mampu menjatuhkan kerajaan PN dengan menarik sokongan kepada PN, ini juga boleh dilakukan oleh parti Bersatu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, syarat itu juga menjadi peringatan supaya kerajaan baharu tidak membabitkan kluster mahkamah dalam pembentukan Kabinet.

“Perdana Menteri ke-9 juga diingatkan supaya tidak campur tangan dalam kes-kes yang sedang dikendalikan oleh mahkamah berkaitan beberapa individu pimpinan parti dan Ahli Parlimen.

“PM ke-9 pastinya menghadapi jalan sukar untuk membuat pertimbangan bijak di antara memenuhi syarat yang diberikan oleh Presiden Bersatu atau memenuhi kehendak UMNO pro-Zahid.

“Kedua-dua ini mampu memberikan tekanan kepada kestabilan kerajaan baharu nanti,” katanya.

Atas dasar itu, BERJASA kekal dengan pandangan sebelum ini supaya semua Ahli Parlimen mesti direhatkan sehingga tempoh munasabah untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

Ustaz Zamani berkata, pengisytiharan darurat politik perlu dilaksanakan dan pembentukan Majlis Khas Pemulihan Negara Sementara (MPKNS) juga dibentuk.

Katanya, MPKNS ini perlu dianggotai dan dikendalikan oleh pihak-pihak yang tidak berkepentingan politik.

“BERJASA melihat sistem politik negara kita perlu dibina semula. Ianya sudah dirosakkan oleh pemain politik rakus, warlord dan tidak berintegriti.

“Mereka lebih senang bermain di atas pentas politik yang sudah rosak dan rakyat berada dalam keadaan yang mampu mereka perbodohkan.

“Sudah sampai masanya mereka semua direhatkan dan sistem politik tanah air kita mesti dipulihkan serta rakyat perlu dicerdikkan dengan agenda agama, bangsa dan negara,” kataanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button