Berita Utama

Sokong! Pengambilan khas pendidik atasi lambakan graduan

Utamakan graduan yang ada ikhtisas pendidikan dari lepasan IPG, ISMP

BANGI, 9 Zulkaedah 1442H, Ahad – Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan pengambilan khas 18,702 pendidik secara ‘one-off’, dijangka dapat mengatasi lambakan graduan, terutama bagi lepasan Ijazah Sarjana Muda dari Institut Pendidikan Awam (IPTA).

Menyambut baik perkara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, keputusan kerajaan juga dapat mengisi kekurangan guru sedia ada bagi negeri tertentu seperti Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

Bagaimanapun, beliau menyarankan KPM untuk mengutamakan graduan yang memiliki ikhtisas pendidikan terutama individu dari lepasan Institut Pendidikan Guru dan program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) sebelum membuka pengambilan kepada graduan bidang kritikal lain.

“Keutamaan memilih graduan pendidikan adalah untuk menjaga kualiti pendidikan dan memastikan mereka benar-benar layak dan mempunyai minat yang tinggi sebagai guru.

“Dalam masa sama, iGuru berpandangan untuk pengambilan nanti perlu melihat kepada aspek jantina bagi memastikan kewajaran keseimbangan bilangan guru mengikut jantina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berharap langkah proaktif diambil KPM itu adalah usaha ke arah meningkatkan kualiti profesion keguruan dan menjadikan nisbah guru dan murid pada skala 1: 25 setanding dengan negara-negara maju.

Terdahulu, KPM akan melaksanakan pengambilan khas secara ‘one-off’ seramai 18,702 pendidik, bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, permohonan pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 itu, akan dibuka mulai 7 Julai untuk membolehkan pendidik ditempatkan secara berperingkat di sekolah masing-masing bermula Oktober depan.

“Pengambilan guru secara ‘one-off’ dan besar-besaran ini bertujuan menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri, selain menjamin pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar ketika pandemik COVID-19,” katanya.

Katanya, negeri yang terutamanya berdepan dengan kekurangan guru adalah Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button