Berita Utama

Tolak normalisasi dengan Israel!

Gesa masukkan polisi tolak hubungan dengan negara haram dalam manifesto PRU

BANGI, 9 Zulkaedah 1442H, Ahad – Seiring penolakan rakyat, kandungan manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi setiap parti politik perlu ada polisi menolak sebarang usaha normalisasi dengan negara pengganas Israel.

Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad menegaskan, menjadi kewajipan setiap rakyat menggesa semua parti politik menolak normalisasi dengan Israel.

“Saya menyeru semua parti politik untuk masukkan dalam manifesto PRU akan datang satu polisi menolak segala normalisasi hubungan dengan Israel!

“Rakyat wajib tuntut semua parti #TolakNormalisasi,” katanya menerusi hantaran di Twitter hari ini,

Tatkala ini, #TolakNormalisasi menjadi trending di Twitter selepas Duta Israel di Singapura menyatakan bahawa Israel bersedia menjalin hubungan baik dengan tiga negara Islam di Asia Tenggara.

Tiga negara dengan majoriti penduduk beragama Islam di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei pernah mengecam serangan 11 hari Israel ke atas Semenanjung Gaza yang mengorbankan lebih 250 warga Palestin.

Malaysia, Indonesia dan Brunei menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya campur tangan untuk menghentikan ‘serangan tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk Palestin’.

Tiga negara itu tidak mempunyai apa-apa pertalian rasmi dengan Israel dan berulang kali meminta pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin ditamatkan.

Bagaimanapun, Duta Israel ke Singapura, Sagi Karni berkata, kritikan daripada pemimpin tiga negara itu adalah ‘tidak jujur’ dan ‘tidak berasaskan keadaan sebenar konflik’ yang disifatkan Karni sebagai konfrontasi antara Israel dengan Hamas dan bukannya Israel terhadap semua warga Palestin.

Beliau berkata, satu-satunya cara untuk mempunyai pengaruh besar ke atas apa yang berlaku di Asia Barat adalah dengan mewujudkan hubungan dengan Israel.

“Kami bersedia untuk berbincang dan bertemu. Saya tidak fikir pemimpin negara-negara itu sukar untuk menghubungi kami,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button