Tarbiyah

Zikir yang membawa ke syurga

Bila mana seorang muslim itu meletakkan Allah sebagai kemuncak segala tujuan hidupnya maka sempurnalah keimanan buat dirinya

1. Rasulullah ﷺ pernah mengajarkan kepada kita satu zikir yang boleh membawa kita ke syurga. Sabda Rasulullah ﷺ:

مَنْ قَالَ : رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا ، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا ، وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولًا ، وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ
“Barangsiapa yang mengucapkan: Aku redha dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasulku, maka wajib ke atasnya syurga. (HR Abu Daud)

2. Hadis ini pada hakikatnya menggambarkan kepada kita tentang kesempurnaan iman seorang muslim. Bila mana seorang muslim itu meletakkan Allah sebagai kemuncak segala tujuan hidupnya maka sempurnalah keimanan buat dirinya.

3. Begitu juga apabila dia redha agar Islam itu menjadi panduan hidupnya dan Rasulullah ﷺ itu petunjuk jalan bagi dirinya, maka dia telah meletakkan agama ini sebagai pengaruh utama yang membentuk hala tuju dan kerangka hidupnya, maka dia telah mencapai kemanisan iman.

4. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah ﷺ yang menyebutkan:

,ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ ، وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ ؛ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ ، أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا
(Terdapat) Tiga perkara yang andai sekiranya seseorang itu memiliki tiga perkara ini, dia akan merasa kemanisan iman. Iaitu yang pertamanya dia mencintai Allah (redha kepadaNya) dan mencintai RasulNya lebih dari segala-galanya (maka dia akan merasai kemanisan iman). (HR al-Bukhari)

5. Redha di sini bukan sekadar menerima sahaja, tetapi mencintai dan menjiwai setiap perintah Allah dan RasulNya, lalu dia menjadikan Allah dan Rasul sebagai panduan hidupnya, maka pastilah dia akan dikurniakan syurga Allah.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Artikel ini telah disiarkan terlebih dahulu di Facebook penulis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button