Berita Utama

10 peratus populasi Malaysia lengkap 2 dos vaksin pada Julai

Syarikat sertai Pikas hanya perlu bayar kos operasi suntikan

PUTRAJAYA, 10 Zulkaedah 1442H, Isnin –  Sepuluh peratus atau 3.2 juta populasi Malaysia dijangka telah divaksinasi dengan dua dos suntikan vaksin COVID-19 pada pertengahan bulan hadapan (Julai), kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, sasaran itu dapat dicapai berdasarkan bilangan pusat pemberian vaksin (PPV) yang telah dibuka serta jumlah bekalan vaksin COVID-19 yang diterima iaitu 4,078,620 dos vaksin Pfizer-BioNTech, 3,687,880 dos Sinovac dan AstraZeneca 828,000 dos.

“Bermula minggu kedua bulan Julai, kita akan lihat peningkatan vaksin dari Pfizer-BioNTech setiap minggu. Bagi vaksin AstraZeneca, kita akan terima penghantaran baharu pada awal bulan Julai,” katanya.

Dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini hari ini bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, Khairy berkata, vaksinasi harian tertinggi yang dicatatkan setakat ini adalah 221,706 dos dan

penanda aras baharu yang ingin dicapai adalah 300,000 dos sehari.

“Kadar vaksinasi negara kini sedang giat diperhebatkan di seluruh negara dan selari dengan sasaran Pelan Pemulihan Negara untuk mencapai imuniti kelompok secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan lapan juta vaksin COVID-19 diberikan dalam bulan ini, dalam usaha memastikan sasaran 10 peratus populasi Malaysia divaksinasi tercapai.

Sementara itu, Khairy berkata, syarikat yang menyertai Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas), hanya membayar kos operasi suntikan memandangkan vaksin yang diberikan pada program itu adalah percuma.

“Kita tidak akan paksa mereka untuk sertai dan kerana pertemuan saya dengan pemain industri, mereka tampil untuk membantu kerajaan untuk mempercepatkan dan menanggung sebahagian daripada kos.

“Kerajaan menyediakan vaksin secara percuma dan syarikat menanggung kos operasi vaksinasi yang dikenakan ProtectHealth. Ini bukanlah aktiviti membuat keuntungan dan caj yang kami kenakana adalah dihadkan kepada kadar minima,” katanya.

Sehingga 16 Jun, sebanyak 2,082 syarikat dengan jumlah pekerja seramai 301,050 orang dilaporkan telah berdaftar untuk vaksinasi di bawah Pikas.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button