Dunia

14,536 kes baharu, jangkitan tertinggi di Indonesia hari ini

Peningkatan mendadak selepas cuti perayaan Aidilfitri

JAKARTA, 10 Zulkaedah 1442H, Isnin – Sebanyak 14,536 kes harian baharu dilaporkan di Indonesia hari ini, menjadikan jumlah jangkitan di seluruh negara itu kini melebihi dua juta kes.

Dalam tempoh 24 jam terakhir, Indonesia merekodkan 294 kematian yang kini sudah mencecah 54,956. 

Sejak wabak menular pada Mac tahun lalu, Indonesia pernah mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi iaitu 14,518 kes pada akhir Januari lalu.

Peningkatan mendadak kes COVID-19 berlaku di negara itu sejak tempoh beberapa minggu lalu, dipercayai berikutan cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Mei. 

Walaupun pihak berkuasa telah melarang pergerakan pulang ke kampung halaman, masih ramai yang melanggar arahan itu, bahkan ada juga yang mengunjungi pusat pelancongan ketika cuti perayaan berkenaan. 

Kerajaan menjangkakan kenaikan kes apabila menambah sehingga 72,000 katil kuarantin dan 7,500 katil unit rawatan rapi (ICU), peningkatan signifikan lebih daripada 60 peratus pada cuti perayaan sebelumnya. 

Difahamkan, banyak hospital melaporkan kadar penggunaan katil sudah melebihi 80 peratus, dan beberapa wilayah juga sudah mencecah 90 peratus. 

Ini termasuk di wilayah Jawa Tengah, di mana 350 kakitangan kesihatan dilaporkan dijangkiti COVID-19, meskipun sudah divaksinasi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button