Berita Utama

398,846 kes sporadik direkod dari Januari hingga Jun

Dikesan dalam komuniti, tak dapat dikait dengan mana-mana kluster sedia ada

BANGI, 10 Zulkaedah 1442H, Isnin – Sebanyak 398,846 iaitu 69 peratus kes sporadik direkodkan di negara ini sejak 1 Januari hingga 19 Jun 2021, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, Selangor melaporkan kes sporadik tertinggi dengan 151,725 (38.0 peratus), diikuti Kuala Lumpur 44,517 kes (11.2 peratus) dan Sarawak 40,889 kes (10.3 peratus).

Katanya, kes-kes sporadik ini dikesan melalui saringan di tempat kerja, dalam komuniti atau daripada saringan kes bergejala.

Beliau menjelaskan, kes sporadik adalah kes yang dikesan di dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes sporadik tersebut tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan SOP dengan betul.

“Pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-24, Lembah Klang mencatatkan jumlah kes sporadik tertinggi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ini membabitkan tiga daerah iaitu Petaling Jaya dengan 3,905 kes, Hulu Langat (2,783 kes) dan Klang (2,482 kes), kata Dr Noor Hisham.

Beliau berkata, taburan pemetaan kes sporadik di kawasan Lembah Klang jelas bertambah bagi ME ke-13 sehingga ME ke-24, di mana taburannya makin meluas dan ketara.

“Walaupun PKP 3.0 yang diumumkan pada 12 Mei 2021 (ME ke-19) dilihat telah berjaya mengawal peningkatan kes-kes kluster pada ME ke-24, namun kes-kes sporadik masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara.

“Oleh itu, KKM menyeru masyarakat untuk terus konsisten dalam mematuhi sepenuhnya SOP dan mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri. 

“Ini sebagai salah satu langkah mendepani kes sporadik dan kes COVID-19 tidak bergejala, khususnya di kawasan sesak dan berisiko tinggi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button