Berita Utama

Atasi segera masalah ganggu PdPR

Peranti, capaian internet beri kesan pada pelajar miskin

BANGI, 10 Zulkaedah 1442H, Isnin – Dalam mendepani tempoh mencabar pandemik COVID-19, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan perlu berusaha meningkatkan kualiti pendidikan secara atas talian.

Langkah itu selaras dengan realiti norma baharu yang dihadapi pelajar ketika ini yang terpaksa melalui pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Kesukaran belajar secara PdPR bukan sahaja dihadapi murid dan guru, bahkan juga dirasai ibu bapa, kata Ketua Media Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris.

Ini kerana, PdPR memberi kesan kepada murid miskin yang tidak mampu mempunyai peranti, selain isu capaian internet dan masalah guru yang kurang mahir dalam mengendalikan pembelajaran secara atas talian.

Sehubungan itu, Haji Rashidi mencadangkan kerajaan memberikan bantuan satu peranti untuk satu keluarga terutamanya kepada murid daripada golongan B40 dan M40 supaya tiada isu keciciran.

“Berikan juga bantuan data percuma kepada murid sekurang-kurangnya 3GB sehari kerana bantuan data sebanyak 1GB sebelum ini tidak mencukupi untuk pelajar menjalani PdPR yang berkualiti.

“Selain itu, memberi kursus latihan kepada para guru untuk menjalankan PdPR,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu segera mengatasi masalah dan isu yang menganggu proses PdPR supaya pencapaian pendidikan negara mencapai hasrat falsafah pendidikan kebangsaan.

“KPM perlu memfokuskan kepada pendidikan akademik terlebih dahulu berbanding program-program lain yang akan membebankan guru dan murid.

“KPM juga harus lebih kreatif mengurus proses pendidikan demi masa depan generasi akan datang yang akan berhadapan dengan suasana yang lebih mencabar dalam dunia norma baharu yang berkemungkinan berlarutan untuk tempoh beberapa tahun lagi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button