Berita UtamaIstimewa

Pelik! SUHAKAM bercanggah kerajaan soal keselamatan, kedaulatan negara

Lindungi golongan pelarian ada limitasi tidak membuta tuli

BANGI, 10 Zulkaedah 1442H, Isnin – Isu ‘ketidaksepakatan’ yang tercetus antara kerajaan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengenai perihal keselamatan dan kedaulatan negara menimbulkan tanda tanya.

Terdahulu, SUHAKAM mengecam beberapa kenyataan yang menggambarkan migran, pelarian dan pemohon suaka sebagai ancaman keselamatan.

Suruhanjaya itu menggesa kerajaan memberi komitmen untuk tidak menghantar pulang golongan terancam yang mencari perlindungan di Malaysia.

Sebaliknya, berjanji untuk melindungi dan menyediakan bantuan yang diperlukan oleh komuniti pendatang dan pelarian agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan bermaruah, mampu mencari kerja, mendapat akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan tempat tinggal selagi mereka berada di negara ini.

Kenyataan SUHAKAM itu dikeluarkan selepas kerajaan melakukan operasi penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang digerakkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, tindakan itu bertujuan memastikan golongan berkenaan mempunyai dokumen sah bagi tujuan vaksinasi.

Mengulas perkara itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, inisiatif KDN serta pihak penguat kuasa seperti Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seumpamanya yang sedang membuat operasi besar-besaran bagi mengesan PATI dan menghalang kemasukan PATI baharu wajar disokong.

Lebih-lebih lagi pada saat-saat genting negara sedang tenat dilanda wabak berjangkit – COVID-19 – ini, katanya.

“Sejak mula krisis kesihatan kerana penularan COVID-19, kita telah menghadapi pelbagai kesukaran kerana pendatang asing tanpa izin dan migran tanpa dokumen, lebih-lebih lagi mereka ini hidup dalam kelompok yang besar sesama mereka.

“Oleh kerana mereka ini tidak berdokumen, sangatlah susah untuk kerajaan menjejak sekali gus menguruskan mereka tatkala penularan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Haji Aminuddin mengakui rakyat Malaysia menyokong kuat usaha ini kerana kegusaran yang timbul, lebih-lebih lagi banyak isu-isu lain yang pernah terjadi hasil daripada lambakan PATI di Malaysia.

“Desakan SUHAKAM supaya kerajaan tidak menghantar pulang migran-migran tidak berdokumen ini adalah sesuatu yang menghairankan.

“Seolah-olah mereka tidak sedar apa yang berlaku di lapangan walaupun mempunyai cawangan di seluruh negara dan staf yang ramai.

“Ya, saya bersetuju agar melindungi golongan pelarian tetapi ianya tidaklah secara membuta tuli sahaja, ada limitasinya. Jika negara kita sudah tidak mampu menampungnya, apa salahnya kita ambil langkah penyelesaian sebaliknya?,” katanya

Bahkan beliau yakin, kenyataan SUHAKAM mengenai pendatang asing tanpa izin dan migran pastinya menjadi sesuatu yang membangkitkan kemarahan rakyat.

Atas dasar itu, Haji Aminuddin berharap agar kerajaan melihat semula kedudukan SUHAKAM ini.

“Pastinya ada sesuatu yang tidak kena apabila agensi kerajaan sendiri tidak menyebelahi kerajaan dalam perihal keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button