Polis Israel bertindak ganas serang keluarga Palestin
Guna belantan halang penduduk masuk kediaman di Sheikh Jarrah

BAITULMAQDIS, 10 Zulkaedah 1442H, Isnin – Polis negara pengganas Israel menyerang keluarga Palestin di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Menurut saksi, polis menghalang penduduk memasuki kediaman dengan menggunakan belantan.
Mereka juga didakwa menggunakan kekerasan untuk menyuraikan wartawan dan penduduk Palestin yang berada di kawasan itu bagi menyokong keluarga yang diancam pengusiran paksa.
Pasukan keselamatan Israel turut didakwa menyerbu sebuah rumah di kawasan kejiranan serta menyerang penduduknya.
Pada Sabtu lalu, peneroka Israel melepaskan gas pemedih mata ke arah penduduk dan mereka yang sama-sama dalam solidariti untuk mempertahankan kejiranan berkenaan.
Ketegangan meningkat di seluruh wilayah Palestin sejak April lalu selepas keputusan mahkamah Israel untuk mengusir keluarga Palestin daripada kediaman mereka di Sheikh Jarrah, yang memihak kepada peneroka Yahudi.
Keadaan semakin buruk apabila rejim Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa – tempat suci umat Islam yang ketiga – dan menyerang jemaah dalam masjid.
Ketegangan itu hingga membawa kepada serangan udara di Semenanjung Gaza yang membunuh sekurang-kurangnya 290 penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.
Selain itu, pusat kesihatan, pejabat media serta sekolah antara struktur yang disasarkan. – Agensi