Berita UtamaDunia

Rejim haram Israel paksa 1,500 rakyat Palestin roboh kediaman

Aktivis Lubnan minta masyarakat dunia tak abai penderitaan Palestin

BAITULMAQDIS, 10 Zulkaedah 1442H, Isnin – Sikap tamak haloba negara haram Israel seperti tiada pengakhiran apabila kerap merampas tanah Palestin bagi meluaskan kawasan jajahannya.

Terbaharu, seramai 1,500 penduduk Palestin dipaksa merobohkan kediaman mereka di Silwan dekat Baitulmaqdis Timur.

Perkara itu didedahkan oleh seorang aktivis dan pengulas Lubnan, Sarah Abdallah menerusi ciapan di laman Twitternya, semalam.

“1,500 penduduk Palestin di Silwan diarahkan Israel untuk merobohkan rumah-rumah mereka sendiri atau mereka harus membuat pembayaran bagi perkhidmatan perobohan,” katanya.

Sarah berkata, perobohan penempatan itu akan memberi ruang kepada penduduk haram Yahudi untuk membangunkan sebuah taman.

Katanya, tindakan Israel itu adalah satu bentuk pembersihan etnik selain menggesa masyarakat dunia untuk tidak mengabaikan penderitaan rakyat Palestin.

Selama bertahun-tahun, negara penjajah Israel sering merobohkan kediaman Palestin, dengan memberi alasan bahawa struktur terbabit dibina tanpa permit, yang sememangnya mustahil untuk diperoleh.

Pada masa sama, Israel mengambil kesempatan memperluas penempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki, di mana semuanya adalah tidak sah berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Sejak Januari tahun ini, rejim pengganas Israel memaksa lebih daripada 20 rakyat Palestin di Baitulmaqdis yang diduduki untuk merobohkan kediaman mereka.

Lebih dari 600,000 penduduk haram Yahudi tinggal di lebih dari 230 penempatan yang dibina sejak penjajahan Israel pada 1967 di wilayah Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Al-Quds.

Sementara itu, penempatan di Silwan dihuni oleh sekitar 33,000 rakyat Palestin.

Rejim pengganas Israel telah memindahkan penduduk haram Yahudi ke kawasan itu sejak tahun 1980-an dan ketika ini, ratusan daripadanya tinggal di penempatan haram yang dilindungi.

Akibat daripada itu, banyak pelanggaran hak asasi manusia telah dilakukan termasuk pengusiran dan pemindahan penduduk Palestin.

Harta tanah di Silwan telah dituntut oleh penduduk haram Yahudi yang disokong oleh Ateret Cohanim, sebuah yayasan sayap kanan yang berfungsi menyokong kehadiran penduduk haram Yahudi di Baitulmaqdis al-Quds.-Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button