Berita Utama

UMNO desak sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari

Kegagalan kerajaan laksana titah Agong satu penderhakaan

BANGI, 10 Zulkaedah 1442H, Isnin – UMNO mengambil pendirian tegas mendesak kerajaan mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu bagi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah supaya Parlimen segera bersidang.

Beliau berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah itu dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati insittusi Raja-Raja Pemerintah.

Pihaknya juga berpendirian bahawa sidang Parlimen adalah mustahak diadakan untuk segera membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat, yang sedang dalam kesempitan dalam mendepani pandemik COVID-19.

Tambahnya, ia juga bagi memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan.

“Justeru, tidak perlulah berdolak-dalih lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kedua-dua kenyataan media perihal sidang Parlimen.

“… yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Raja-Raja Pemerintah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya.

“Ia sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button