Kolumnis

Selesaikah masalah dengan amaran 14 hari?

Masalah tidak akan selesai selagi ada sikap tamakkan kuasa

MASALAH tidak akan selesai selagi, punca kepada segala masalah tidak diselesaikan, iaitu tamak kuasa. Kecuali dikembalikan semula kepada rakyat. Jika tidak, masalah akan terus bertambah menjadi masalah. Percayalah.

Jangan harapkan sesuatu yang lebih baik, selagi nafsu tamak haloba terhadap kuasa tidak dapat diselesaikan terlebih dahulu. Kuasa adalah lubuk duit, lubuk segala-galanya. Benarlah apa yang dikatakan Machiavelli dalam bukunya “The Prince”.

Untuk kuasa manusia sanggup melakukan apa sahaja, termasuk matlamat menghalalkan cara.

Inilah realiti politik Malaysia. Tidak kira parti politik mana sekalipun. Semua gilakan kuasa. Kerana dengan kuasa, boleh memiliki segala-galanya.

Parti kecil merasakan dirinya besar, parti besar merasakan dirinya lagi besar. Langsung tidak mahu mengalah dan bertolak ansur. Akhirnya, siapa yang rugi? Siapa yang ditolak beransur-ansur. Tidak lain tidak bukan, Islam dan Melayu.

Siapa yang tidak tertolak? Siapa yang menang? Kalau bukan musuh-musuh Islam.

Kita sengaja buat-buat lupa, ada kuasa yang lebih besar daripada itu yang sedang memerhati dan menguji hambaNya.

Malangnya, hambaNya pula beranggapan, tidak ada masalah melakukan kemungkaran, kejahatan dan kemaksiatan, tidak ada masalah gila kuasa, tidak ada masalah salah guna kuasa, tidak ada masalah mentekedarah rasuah, dan lain-lain salah laku, kerana selepas itu boleh bertaubat, Allah Maha Pengampun. Boleh bertaubat, kerana Allah menerima taubat.

Merasa bersalah, boleh buat haji dan umrah, boleh sedekah kepada Palestin dan fakir miskin, boleh sedekah kepada maahad tahfiz bagi tujuan ‘mencuci’ dosa-dosa yang dilakukan.

Sebab itu saya tidak pernah hairan jika wakil rakyat membantu rakyat yang kesempitan, kerana itu bukan duit mereka tetapi duit rakyat. Kecualilah, wakil rakyat tersebut memang asalnya datang daripada keluarga yang kaya-raya.

Namun, jika mereka kaya setelah menjadi wakil rakyat. Boleh dikatakan kekayaan yang diperolehi itu adalah hasil daripada semua kemudahan yang dipergunakan ketika menjadi wakil rakyat, untuk menjadikan dirinya kaya-raya.

Sebab itu, kita amat terharu dengan wakil rakyat (pemimpin), semasa hidup dan matinya, tidak ada apa yang ditinggalkan dan diwariskan, melainkan tinggalan jasa berguna buat umat dan bangsa. Kita selalu baca perjuangan Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat. Malangnya, kita buat-buat lupa.

Justeru, apa yang boleh dibuat dalam masa 14 hari?

Muhasabah pertama, buatlah muhasabah diri. Muhasabah parti. Buatlah penilaian. Siapakah aku sebenarnya? Apakah yang telah aku lakukan selama ini? Bersihkah aku ketika berkuasa? Adakah kuasa yang aku ada selama ini digunakan demi kepentingan agama, bangsa dan negara? Adakah wadah parti yang dipimpin boleh membawa ke syurga? Cari jawaban dalam 14 hari ini?

Muhasabah kedua, pemimpin-pemimpin yang terpalit dengan salah guna kuasa, rasuah, skandal seks dan lagi-lagi skandal lagi berundurlah. Sama ada sudah dibuktikan bersalah atau belum, calitan dan luka itu pasti ada.

Berikanlah peluang kepada muka-muka baharu untuk memimpin negara ini. Rakyat sudah teramat menderita dengan ujian wabak yang melanda ini. Tidak usahlah berpolitik lagi. Jika kamu benar-benar wakil rakyat, fikirkanlah kepentingan rakyat.

Kenapa cara berfikir kita tidak seperti cara berfikir negara maju. Walaupun mereka negara bukan Islam dan bukan beragama Islam, tetapi akhlak cara berfikirnya macam orang Islam. Bila rasa bersalah, terpalit dengan skandar, terus letak jawatan.

Bukan macam dalam kalangan kita, yang telah dibuktikan bersalah, dengan muka tak malu, terus mahu berada di puncak kuasa. Ini bukan akhlak Islam namanya. Pun bukan akhlak bukan Islam. Tetapi munafik yang tidak pernah kenal erti taubat.

Paling hina, sudah didapati bersalah. Tidak puas hati lagi. Merasakan dirinya tidak bersalah. Terus mahu berkuasa. Kalau tidak dapat juga, dia akan pastikan anak cucunya dapat menggantikannya.

Muhasabah ketiga, kebanyakan pemimpin parti atau wakil ini sudah kaya-raya belaka. Apa lagi yang dimahukan dalam hidup ini? Harta, rumah, kereta, sudah tidak terkira. Jangan ceritalah soal berapa isteri dan berapa isteri-isteri dapat. Apa lagi yang mahu dalam hidup ini? Tinggalkanlah sesuatu yang boleh dikenang rakyat, bukan dicerca rakyat, apabila telah tiada nanti. Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga.

Muhasabah keempat, hidup ini akan mati. Walaupun umur panjang, akan mati juga. Kita nak bawa apa bila mati nanti? Teringatkan gurindam yang dihantar kawan-kawan berbunyi

Jangan bangga sangat dengan pakaian yang cantik dan mahal yang kita ada kerana pakaian terakhir kita nanti adalah kain kapan putih juga. Semua sama!

Jangan bangga sangat dengan kenderaan mewah kerana kenderaan terakhir kita adalah van jenazah dan papan keranda.

Jangan terlalu syok dengan tempat tidur, tilam yang empuk dan selesa kerana tempat tidur terakhir kita adalah di liang lahad di dalam kubur nanti.

Jangan terlalu ego dan sombong kerana mampu mempunyai rumah mewah sebab rumah terakhir kita nanti adalah kubur bertiang dua.

Jangan terlalu ego dengan pangkat, jawatan, harta dan darjat sebab bila mati semua itu tak dapat bawa masuk jugak dalam kubur pun, bekal yang ada pun hanya amalan kita sahaja.

Jangan terlalu bangga dan sombong dengan wajah yang kacak jelita kerana bila mati nanti wajah kita itu juga akan berubah. Jadi tengkorak semua. Pucat lesi, tulang je ada!

Sebenarnya, 14 hari sudah cukup untuk melihat perubahan itu, tidak perlu tunggu sampai sebulan. Kadangkala seminggu pun sudah cukup, kalau pun tidak sehari. Semua terpulang kepada diri sendiri. Mahu berubah atau tidak. Mahu bertaubat dengan sebenar-benar taubat atau tidak. Tepuk dada tanya iman.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button