Berita Utama

3,372 penerima PERMAI diminta kemas kini maklumat

Anggap pemohon tak minat jika gagal berbuat demikian sebelum 25 Jun

BANGI, 11 Zulkaedah 1442H, Selasa – Pemandu pengangkutan awam yang masih belum menerima Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) diminta untuk segera mengemas kini maklumat akaun sebelum 25 Jun bagi fasa pembayaran akhir.

Sehingga 15 Jun, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah membuat pembayaran bantuan PERMAI kepada 99,890 pemandu yang layak.

Bagaimanapun, masih terdapat 2,966 pemandu teksi dan kereta sewa yang tidak dapat dibayar kerana tidak mengemas kini maklumat akaun bank kepada APAD, kata agensi itu dalam satu kenyataan.

“Manakala, terdapat 406 pemandu yang terdiri dari pemandu teksi, bas sekolah dan bas persiaran pula yang tidak dapat dibayar kerana memberi maklumat diri atau akaun yang tidak tepat.

“Pada perkembangan sama, kesemua pemandu yang mempunyai rekod telefon bimbit telah dimaklumkan oleh APAD melalui sms blast untuk mengemas kini maklumat akaun masing-masing melalui email sebelum 25 Jun 2021,” katanya hari ini.

APAD berkata, pemohon boleh dianggap tidak berminat untuk meneruskan permohonan bantuan sekiranya gagal mengemas kini maklumat pada tempoh yang telah ditetapkan.

“Kerjasama dan keprihatinan semua pihak terutama para pemohon yang belum menerima bantuan amatlah dihargai.

“Berhubung maklumat terkini mengenai Bantuan PEMERKASA+, sebarang pemakluman akan dikemas kini dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi APAD,” katanya.

Untuk rekod, pembayaran PERMAI yang telah dilaksanakan sejak bulan Februari 2021 akan ditutup pada 30 Jun ini bagi memberi laluan kepada perancangan serta pelaksanaan Bantuan PEMERKASA+ yang diumumkan Perdana Menteri pada 31 Mei, untuk dilaksanakan bermula Julai depan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button