Berita Utama

Ada tali barut bawa masuk pendatang di Langkawi

Hasil risikan segelintir nelayan bekerjasama dengan sindiket

LANGKAWI, 11 Zulkaedah 1442H, Selasa – Terdapat dalam kalangan nelayan di Langkawi yang dipercayai menjadi tali barut kepada sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin, ke pulau peranginan itu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima makluman awal mengenai perkara itu, dan berdasarkan maklumat itu juga terdapat sindiket yang membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini, sedang berada di negara jiran dan hanya menunggu masa memasuki perairan Malaysia.

“Hasil risikan mendapati, segelintir komuniti nelayan tempatan ini bekerjasama dengan sindiket itu tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.

“Mereka ini (komuniti nelayan yang menjadi tali barut) bekerjasama dengan sindiket ini di tengah-tengah lautan, dan menyeludup masuk pendatang tanpa izin menggunakan bot-bot mereka,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan pematuhan prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan, di sini.

Turut serta dalam lawatan itu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, dan Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Hamzah berkata beliau telah meminta Polis Diraja Malaysia, APMM dan National Task Force untuk membantu dan mengekang kemasukan pendatang tanpa izin itu ke negara ini.

“Jika dahulu modus operandi mereka masuk ke negara ini dengan menggunakan bot-bot besar, maka sekarang mereka menukar strategi dengan menetap sementara di pulau-pulau kecil memerhati pergerakan pihak berkuasa.

“Mereka ini akan menunggu masa dan jika tidak ada rondaan pada waktu itu maka mereka akan masuk sedikit demi sedikit menggunakan bot-bot yang dibawa sindiket…dan bila tiba di perairan negara telah ada orang yang menunggu mengambil mereka ini, itulah cara yang mereka buat sekarang ini,” katanya.

Sehubungan itu Hamzah berkata, beliau turut mengadakan pertemuan dengan beberapa Pengerusi Persatuan Nelayan serta warga nelayan di Langkawi, bagi memberi penerangan dan nasihat supaya tidak terjerumus dalam jenayah, yang boleh memusnahkan diri mereka dan negara.

“Kami bukan hanya memberi bantuan makanan asas kepada mereka (komuniti nelayan), malah kita mahu mereka ini sedar bahawa dalam kalangan mereka ini ada yang melakukan jenayah, yang tidak sepatutnya dilakukan oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata selain penyeludupan manusia, sindiket itu turut terlibat dalam pengedaran dadah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button