Berita UtamaIstimewa

Desak Parlimen bersidang, politikus ‘kluster’ ada agenda?

Adakah mereka betul insaf, ikhlas bela nasib rakyat?

BANGI, 11 Zulkaedah 1442H, Selasa – Tindakan ‘kluster’ ahli politik menggesa agar Parlimen dapat bersidang dengan kadar segera menimbulkan kebimbangan sekiranya pihak berkenaan mempunyai agenda tersirat.

Ketua Perhubungan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kelantan, Ustaz Sharipudin Ab Kadir berkata, beliau pada dasarnya bersetuju Parlimen bersidang lebih-lebih lagi Yang di-Pertuan Agong bertitah sedemikian.

Bagaimanapun, timbul rasa sangsi terhadap kesungguhan ahli politik untuk bersidang apa yang tersirat, lebih-lebih lagi mereka yang begitu lantang mendesak untuk buka sidang Parlimen ada dalam pelbagai kluster.

“Ada kluster langkah. Suka langkah sana sini. Ada kluster mahkamah. Ada kluster tak dapat jawatan. Ada kluster lompat. Ada kluster kitar semula. Asyik nak jadi Perdana Menteri walaupun usia dah amat lanjut. Dan pelbagai lagi.

“Kluster ini belum tamat keaktifannya. Bimbang kluster ini akan merebak semula sama aktif dengan kluster COVID-19 yang agak ganas. Mereka inilah yang agak lantang sekarang ini mendesak supaya diadakan sidang Parlimen.

“Adakah mereka betul insaf dan ikhlas untuk membela rakyat yang berhadapan dengan kemelut sekarang ini. Atau ada agenda lain yang tersirat. Ini yang masih menjadi persoalan kita,” katanya dalam kenyataan.

Dibandingkan dengan ahli politik yang tidak berkluster, Ustaz Sharipudin berkata, mereka agak senyap dan sepi sama ada dalam kerajaan atau pembangkang.

Justeru katanya, rakyat perlu menilai dari sekarang apa gelagat ahli politik apabila Parlimen mula bersidang.

“Agaknya apa agenda tersurat dan tersirat dalam pemikiran mereka. Setakat ini amat susah untuk kita memberi kepercayaan kepada mereka sepenuhnya kerana perkiraan mereka adalah kuasa dan pengaruh.

“Telah banyak langkah yang berlaku demi kuasa. Ada langkah Kajang. Ada langkah Sheraton. Ada langkah Port Dickson. Akan datang entah berapa langkah lagi akan berlaku.

“Semuanya kita tidak dapat jangka apabila kepentingan diri menjadi keutamaan. Puncanya kerana langkah sebelum ini tidak dapat melepasi garisan akhir. Mungkin langkah sumbang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button