Berita Utama

KPM perlu beri keutamaan 3 aspek ambil guru baharu

CUEPACS tidak mahu pengambilan gagal beri impak diharapkan

KUALA LUMPUR, 11 Zulkaedah 1442H, Selasa – Kementerian Pendidikan (KPM) diharapkan memberi keutamaan kepada aspek kualiti, kemahiran dan minat calon guru yang akan dipilih kelak dalam mengisi kekosongan jawatan guru di sekolah-sekolah di seluruh negara, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat.

Beliau berkata walaupun kerajaan dilihat serius dan ingin menyelesaikan isu kekurangan guru dalam masa yang singkat, tiga elemen itu perlu diberi penekanan kerana cabaran yang dihadapi dalam dunia perguruan ketika ini amat besar.

“CUEPACS juga tidak mahu pengambilan secara besar-besaran itu hanya mampu menyelesaikan isu kekurangan guru semata-mata tetapi tidak memberi impak yang diharapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pelaksanaan pengambilan khas secara ‘one-off’ seramai 18,702 pendidik bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Adnan juga meminta KPM memberi keutamaan kepada graduan pendidikan yang masih tidak mendapat penempatan dan layak berdasarkan opsyen mata pelajaran masing-masing supaya kemahiran dan keupayaan mereka dapat digunakan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata CUEPACS melihat pengambilan guru secara besar-besaran itu tidak sewajarnya diteruskan pada masa hadapan, sebaliknya pengambilan perlu dilakukan secara berperingkat mengikut kekosongan semasa.

Katanya langkah berkenaan lebih wajar kerana ia mampu mengatasi masalah semasa dan bukannya dikumpulkan untuk diselesaikan dalam satu tempoh sahaja.

Selain itu, Adnan juga meminta KPM menyelesaikan masalah permohonan pertukaran guru sedia ada ketika ini sebelum memberi penempatan kepada guru baharu.

“Selesaikan dahulu permohonan guru-guru lama yang memohon untuk bertukar terutama kepada pasangan jarak jauh, mempunyai ibu bapa yang uzur atau menghadapi masalah kesihatan yang serius.

CUEPACS juga berharap guru muda yang bakal diambil kelak menggunakan peluang sebaiknya bagi mendidik anak bangsa, sekali gus memberikan contoh yang baik kepada pelajar dan masyarakat agar profesion perguruan disanjung dan dipandang tinggi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button