Lebih 8,500 kanak-kanak diguna sebagai tentera pada 2020: PBB
Myanmar, Syria tersenarai negara tak laksana langkah lindungi kanak-kanak

NEW YORK, 11 Zulkaedah 1442H, Selasa – Lebih daripada 8,500 kanak-kanak digunakan sebagai tentera tahun lalu dalam pelbagai konflik di seluruh dunia, dan hampir 2,700 yang lain terbunuh, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Itu adalah laporan tahunan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres kepada Majlis Keselamatan mengenai konflik kanak-kanak dan bersenjata merangkumi pembunuhan, pencabulan dan penderaan seksual, penculikan atau pengambilan, penafian akses bantuan dan penyasaran sekolah serta hospital.
Laporan itu mengesahkan bahawa pencabulan telah dilakukan terhadap 19,379 kanak-kanak dalam 21 konflik.
Pencabulan paling banyak pada tahun 2020 dilakukan di Somalia, Republik Demokratik Kongo, Afghanistan, Syria dan Yaman.
Turut disahkan 8,521 kanak-kanak digunakan sebagai tentera tahun lalu, sementara 2,674 kanak-kanak lain terbunuh dan 5,748 cedera dalam pelbagai konflik.
Laporan itu juga memuatkan senarai hitam yang bertujuan memalukan pihak terlibat dalam konflik, dengan harapan mendorong mereka untuk melaksanakan langkah-langkah bagi melindungi kanak-kanak.
Dalam usaha meredakan kontroversi, senarai hitam yang dikeluarkan pada tahun 2017 oleh Guterres dibahagikan kepada dua kategori iaitu menyenaraikan pihak yang telah melaksanakan langkah-langkah untuk melindungi kanak-kanak dan yang lain termasuk pihak-pihak yang belum melakukannya.
Terdapat beberapa perubahan ketara pada senarai yang dikeluarkan pada hari Isnin.
Satu-satunya negara yang tersenarai kerana tidak menerapkan langkah-langkah dikehendaki adalah kerajaan tentera Myanmar – ekoran tindakan membunuh, penderaan dan keganasan seksual terhadap kanak-kanak.
Selain itu, kerajaan Syria – untuk pengambilan kanak-kanak, pembunuhan, penderaan dan keganasan seksual terhadap kanak-kanak serta serangan ke atas sekolah dan hospital. – Agensi