Berita Utama

Maqis rampas makanan haiwan dari Korea Selatan bernilai hampir RM300,000

Gagal kemuka permit import yang sah

SHAH ALAM, 11 Zulkaedah 1442H, Selasa – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor merampas makanan haiwan, gluten jagung dari Korea Selatan seberat 98,400 kilogram kerana gagal mengemukakan permit import yang sah, di Pelabuhan Klang Utara pada Ahad.

Pengarah Maqis Selangor, Zamri Hashim berkata, produk hasil pertanian dalam bentuk serbuk kering yang dianggar bernilai RM291,364.14, ditahan susulan pemeriksaan pada 12 tengah hari, kelmarin.

“Penahanan itu dilakukan selepas ia gagal mengemukakan permit import yang sah kepada pegawai penguat kuasa yang bertugas dan kesemua barang dagangan telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button